TEL AVIV – Pihak berkuasa Israel memindahkan penduduk dari beberapa bandar di tengah Israel semalam, berikutan kebakaran hutan besar-besaran yang dicetuskan oleh suhu melampau dan angin kencang.
Polis menutup Laluan 38, merupakan laluan utama dari tengah Israel ke Baitulmuqaddis, dan memindahkan penduduk dari bandar Eshtaol, Beit Meir dan Mesilat Zion akibat kebakaran hutan di kawasan Beit Shemesh.
Kebakaran itu pada mulanya berlaku berhampiran Moshav Tarum di tengah Israel dan merebak cepat disebabkan suhu tinggi serta tiupan angin kuat.
Pihak Berkuasa Bomba dan Penyelemat Kebangsaan Israel memaklumkan, 11 pesawat pemadam kebakaran dan lebih 100 pasukan dari seluruh negara giat memadamkan kebakaran di kawasan Eshtaol, di bukit Baitulmuqaddis.
Rakaman di media sosial menunjukkan orang ramai berjalan di sepanjang lebuh raya berhampiran bandar Rehovot, dikelilingi asap tebal.
Saluran 12 Israel melaporkan, tiga anggota bomba cedera semasa berusaha memadam kebakaran di kawasan berbukit Baitulmuqaddis.
Polis Israel mengeluarkan kenyataan bahawa Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu sedang menilai situasi di pusat arahan memadam kebakatan di Eshtaol, disertai Pesuruhjaya Polis, Daniel Levi dan Menteri Keselamatan Negara, Itamar Ben-Gvir, yang terlibat melalui telefon dari Amerika Syarikat (AS).
Kenyataan itu menjelaskan arahan Levi supaya pasukan bersiap sedia menjalankan operasi pada waktu malam, menggunakan semua sistem yang ada termasuk unit udara polis.
Dalam ucapan yang disiarkan secara langsung selepas mesyuarat itu, Netanyahu menggesan pesawat ‘Shimshon’ digunakan untuk membantu usaha memadam kebakaran antara Baitulmuqaddis dan Tel Aviv.
Beliau turut mendakwa, Israel sedang bersiap sedia meminta bantuan antarabangsa, termasuk dari Greece, bagi membantu memadam kebakaran, lapor Anadolu.
Perkhidmatan Meteorologi Israel memberi amaran keadaan cuaca melampau pada Selasa dan Rabu, dengan suhu mencecah rekod tertinggi, berisiko menyebabkan kebakaran semakin merebak.