KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) mendedahkan lebih separuh daripada 6,246 calon yang tidak hadir ketika peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 disebabkan sudah bekerja.
Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Azman Adnan berkata ia terbukti apabila analisis dijalankan KPM menunjukkan kira-kira 57.8 peratus daripada 6,246 calon SPM yang tidak hadir peperiksaan awam itu tahun lalu sudah bekerja, dengan kebanyakannya bekerja di luar zon persekolahan masing-masing.
‘Jadi ini (sudah bekerja) menjadi faktor utama dan paling besar, manakala 35.5 peratus (daripada) calon (yang tidak hadir) hadapi pelbagai masalah berkaitan keluarga dan 4.7 peratus menghadapi masalah kesihatan.
“Selebihnya pula, terdapat faktor lain… maknanya di sini lebih 50 peratus yang tak hadir disebabkan calon telah bekerja,” katanya pada Sidang Media Pengumuman Analisis Keputusan Peperiksaan SPM Tahun 2024 hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata secara keseluruhan berlaku penurunan membabitkan angka mereka yang tidak untuk menduduki SPM pada 2024 berbanding tahun sebelumnya.
Analisis Keputusan SPM 2024 dikeluarkan hari ini menunjukkan 6,246 calon atau 1.8 peratus tidak hadir peperiksaan itu berbanding 8,676 (2.5 peratus) pada 2023.
Azman ketika ditanya sama ada calon SPM terbabit bekerja secara sukarela atau terpaksa kerana masalah keluarga, menjawab ia dipengaruhi pelbagai faktor.
Katanya, ada antara pelajar yang membantu ibu bapa atas tuntutan ekonomi, selain sebahagiannya yang memilih untuk bekerja kerana tarikan gaya hidup.