KUALA LUMPUR, – Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mendakwa dasar perbezaan harga diesel antara Semenanjung dan Sabah, Sarawak serta Labuan berpotensi melanggar prinsip kesamarataan yang dijamin di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, pelaksanaan harga diesel sekitar RM4.72 seliter di Semenanjung berbanding kira-kira RM2.15 seliter di Sabah, Sarawak dan Labuan menimbulkan persoalan besar sama ada kerajaan Persekutuan telah mewujudkan layanan tidak sama rata terhadap rakyat serta komuniti perniagaan dalam satu negara.
Menurut Tun Faisal, perbezaan harga yang ketara itu memberi kesan langsung kepada kos sara hidup dan kos operasi perniagaan di Semenanjung, khususnya dalam sektor logistik, pengangkutan dan perdagangan, sekali gus berpotensi meningkatkan harga barangan serta tekanan inflasi.
Beliau menegaskan bahawa dari sudut fungsi ekonomi, pengguna diesel di seluruh Malaysia sepatutnya dianggap sebagai kumpulan yang sama kerana menjalankan aktiviti ekonomi yang serupa. Namun, pendekatan harga berbeza berdasarkan wilayah, katanya, boleh dianggap sebagai layanan tidak sama terhadap kumpulan yang setara di sisi undang-undang.
“Jika prinsip kesamarataan mempunyai makna, ia mesti terpakai dalam isu ini. Apabila kumpulan yang sama dikenakan beban berbeza hanya kerana lokasi geografi, ia menimbulkan persoalan serius tentang keadilan dasar,” katanya dalam satu kenyataan.
Tun Faisal turut menyifatkan pendekatan subsidi diesel sedia ada sebagai terlalu meluas dan tidak disasarkan, kerana semua pengguna di Sabah dan Sarawak termasuk syarikat besar serta golongan berpendapatan tinggi terus menikmati subsidi menyeluruh, manakala rakyat dan perniagaan di Semenanjung menanggung harga lebih tinggi tanpa pengecualian.
Beliau berpendapat keadaan itu boleh dianggap sebagai “diskriminasi secara operasi” yang memberi kesan terhadap daya saing ekonomi wilayah, struktur kos perniagaan serta keseimbangan pembangunan antara Semenanjung dan Malaysia Timur.
Menurutnya lagi, hujah kerajaan bahawa perbezaan harga diesel perlu bagi menangani cabaran logistik dan kos sara hidup di Sabah serta Sarawak menimbulkan persoalan konsistensi, memandangkan harga petrol RON95 bersubsidi dan RON97 kekal seragam di seluruh negara.
“Jika alasan geografi dan kos sara hidup digunakan, mengapa petrol tidak dibezakan? Jika tujuan membantu golongan memerlukan, mengapa subsidi tidak disasarkan berdasarkan pendapatan dan keperluan sebenar?” katanya.
Beliau menegaskan bahawa isu perbezaan harga diesel bukan sekadar perbahasan dasar ekonomi semata-mata, tetapi melibatkan implikasi perlembagaan kerana didakwa tidak rasional, tidak konsisten dan berpotensi menafikan hak rakyat serta perniagaan di Semenanjung untuk mendapat layanan yang sama di sisi undang-undang.
Sehubungan itu, Tun Faisal menggesa Ahli-ahli Parlimen supaya membangkitkan isu tersebut secara serius di Dewan Rakyat dan menuntut penjelasan kerajaan mengenai rasional serta justifikasi dasar berkenaan, termasuk kesannya terhadap kos hidup rakyat dan kestabilan ekonomi negara. – SuaraTV



