Kuil tak diroboh, masjid bina berdekatan dan tiada kaum yang terluka – Hassan Karim

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diseru supaya mengambil jalan penyelesaian yang adil dan bijaksana berasaskan prinsip Madani yang kini telah diterima baik oleh masyarakat pelbagai agama di Malaysia.

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim mengemukakan dua cadangan berhikmah kepada Perdana Menteri agar penyelesaian adil dapat dilaksana.

“Jadi dengan rendah hati saya menyeru kepada Anwar supaya mengambil jalan penyelesaian yang adil dan bijaksana berasaskan prinsip Madani yang kini telah diterima baik oleh masyarakat pelbagai agama di Malaysia.

“Ada dua perkara yang wajar dilakukan.Pertama janganlah Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman itu dirobohkan.Sebagai seorang Muslim saya menyeru Perdana Menteri juga seorang pemimpin Muslim yang dihormati di dalam negeri dan di dunia antarabangsa, maka kita sama-sama tunjukkanlah budi dan adab seorang Muslim yang diseru oleh ajaran Islam untuk kita menghormati hak rakyat beragama Hindu di Malaysia ini.

“Jalan penyelesaian yang kedua ialah Anwar sebagai Perdana Menteri mengemukakan cadangan supaya sebuah masjid baru yang hendak dibina itu kita sama-sama dirikan di atas tapak lain bersebelahan atau berdekatan kuil tersebut.

“Ini bermakna masjid dapat dibina dan kuil yang ada di situ kekal di tapak yang sedia ada seperti sekarang tanpa dirobohkan,” syor wakil rakyat PKR itu.

Menurut Hassan, jika jalan penyelesaian seperti ini dapat dicapai maka banyak kebaikan dapat diperolehi.

“Antaranya, tiada hati dan perasaan mana-mana kaum dan agama terluka.

“Selain itu perpecahan kaum dan agama dapat dielakkan.Tidak kurang pentingnya dalam bulan Ramadan yang mulia ini selaku Perdana Menteri Malaysia bagi semua rakyatnya yang pelbagai kaum dan agama dapat menunjukkan contoh sebagai pemimpin perpaduan yang adil dan penuh ehsan,” kata Hassan.

Dalam surat terbuka itu beliau menulis sebagai seorang ahli parlimen Muslim dari PKR (Pakatan Harapan) yang menjadi penyokong Kerajaan Madani dan secara peribadi penyokong Dato Seri Anwar Ibrahim sejak sekian lama.

Kata beliau, demi prinsip Kerajaan Madani yang bersumberkan falsafah Islam yang berteraskan keadilan dan keehsanan beliau menyeru Perdana Menteri supaya menyelesaikan isu Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur dengan adil dan bijaksana.

“Saya percaya Anwar berkeupayaan melakukan itu. Saya pernah menyaksikan sendiri di sebuah universiti terkemuka di Doha, Qatar pada tahun 2019 di mana Anwar sebagai seorang Muslim demokrat berucap mengenai Renaissance dari perspective Islam yang luhur dan progresif.

“Maka kini di tanah air kita sendiri pada tahun 2025 ketika Anwar adalah seorang Perdana Menteri berpeluang untuk menunjukkan jalan penyelesaian kepada permasalahan yang berkaitan dengan isu sebuah kuil yang sedia ada dan sebuah masjid yang akan dibina di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur itu.

“Sebelum pergi lebih jauh ada eloknya kita meneliti Fasal 1 Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang menyatakan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

“Masyarakat Hindu di Malaysia seperti penganut agama lain menerima tentang kedudukan istimewa Islam di negara ini.Mereka hanya ingin secara aman untuk mengamalkan agama mereka tanpa ganggu-gugat.

“Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur telah lama dibina, melebihi 100 tahun sejak sekian lama sebelum Semenanjung Tanah Melayu merdeka.Negara kita masih dijajah Inggeris ketika itu.Kuil tersebut telah dibina dengan izin pihak berkuasa pemerintah ketika itu sebagai tempat beribadat kaum buruh India beragama Hindu yang dibawa masuk oleh penjajah Inggeris ke negara ini, termasuk ke Kuala Lumpur untuk membina jalan-jalan raya, landasan keretapi dan lain-lain pembinaan infrastruktur yang sesetengahnya kekal wujud sampai sekarang.Kuil tersebut telah berperanan secara aman untuk kepentingan masyarakat Hindu di kawasan berkenaan untuk menjalani amalan agama mereka secara aman damai hinggalah sampai sekarang,” ujar Hassan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat