Isteri CEO GISBH dapat jaminan, suami kekal dipenjara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Seramai lapan wanita termasuk isteri kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) Sdn. Bhd., Nasiruddin Mohd. Ali dibebaskan dengan jaminan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.

Dalam prosiding di Mahkamah Kompleks Penjara Kajang, Hakim, Datuk Seri Latifah Mohd. Tahar membenarkan Azura Md. Yusof, 58, dan tujuh yang lain dijamin sebanyak RM40,000 dengan dua penjamin serta syarat tambahan.

Selain Azura, turut dibenarkan ikat jamin ialah Nurul Jannah Idris, 29; Nur Jannah Omar, 33, Siti Salmiah Ismail, 58, Mahani Kasim, 55, Siti Hajar Ismail, 52, Asmat @ Asmanira Muhammad Ramly,45, dan Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 28.

Dalam penghakimannya, Hakim Latipah berkata, mereka dibenarkan diikat jamin sebanyak RM40,000 dengan dua penjamin serta syarat tambahan atas alasan tiada keterangan yang menunjukkan kesemua lapan wanita itu mempunyai risiko untuk melarikan diri.

“Pemohon juga tiada risiko atau kebarangkalian yang tinggi untuk berhubung dan berjumpa saksi atau mangsa yang berkemungkinan berpotensi dipengaruhi pemohon. Pemohon juga telah memberikan akur janji (untuk) tidak berjumpa dengan saksi penting.

“Pemohon yang diikat jamin tidak dibenarkan untuk menggangu mangsa atau mana-mana saksi sepanjang tempoh jaminan dan sekiranya pemohon sakit pada tarikh yang ditetapkan, penjamin perlu hadir untuk kemukakan cuti sakit.

“Sekiranya gagal mematuhi mana-mana syarat jaminan itu, mahkamah boleh mengeluarkan waran tangkap, wang jaminan boleh dirampas atau dinaikkan dan dibatalkan serta boleh dipenjarakan sehingga kes selesai,” kata Latifah ketika membacakan penghakimannya lapor Utusan pada Isnin.

Mahkamah bagaimanapun menolak permohonan Nasiruddin dan 12 lagi pemohon untuk jaminan.

Kesemua 12 pemohon itu ialah Hasnan Abd Hamid, 54, Mohammad Adib At-Tarmizi Asa’ari, 33, Mohd. Shukri Mohd. Noor, 54, Mokhtar Tajuddin, 61, Shuhaimi Mohamed, 57, Muhammad Afdaluddin Latif, 35, Mohamad Sayuti Omar, 36, Mohd. Fazil Md Jasin, 58, Mohd. Dhirar Fakhrur Razi, 35, Muhammad Zahid Azhar@Nadzri, 52, Abu Ubaidah Ahnad Shukri, 35, dan Muhammad Fajrul Islam Khalid, 29.

Latifah berkata, semua pemohon yang tidak diikat jamin berada dalam keadaan baik dan boleh menjalankan aktiviti harian secara berdikari.

“Mereka gagal memenuhi syarat yang dikategorikan yang termaktud Seksyen 13 (2) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) 2012,” katanya.

Dalam prosiding sebelum ini, pihak pembelaan yang mewakili Nasiruddin ketika berhujah dalam rayuan jaminan berkata kedua-dua anak guamnya mempunyai penyakit yang memerlukan rawatan khusus.

Dalam pada itu, peguam-peguam lain dalam rayuan mereka turut memaklumkan pemohon-pemohon akan mematuhi segala syarat tambahan sekiranya dibenarkan ikat jamin.

Mendengar perkara itu, pendakwaan berkata Seksyen 13 (2) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) telah memberi budi bicara kepada mahkamah untuk mempertimbangkan permohonan jaminan dengan syarat tertuduh memenuhi syarat yang diperuntukkan seksyen itu iaitu seorang individu yang berumur di bawah 18 tahun, seorang perempuan atau seorang yang sakit atau uzur.

Selain itu, pihak pendakwaan turut menghujahkan doktor yang merawat pemohon di dalam penjara juga mencukupi selain fasiliti dan ubat-ubatan lengkap serta pemohon juga pada bila-bila masa boleh mendapatkan rawatan.

Sebelum ini, hanya seorang tertuduh iaitu Hamimah Yakub, 73, dibenarkan diikat jamin iaitu sebanyal RM40,000 dengan dua penjamin oleh mahkamah sama yang mana tertuduh kategori pengecualian termaktub bawah Seksyen 13(2)(b) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) 2012.

Pemohon juga diperintah melaporkan diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang sekali setiap dua minggu hingga perbicaraan selesai, selain wajib hadir ke mahkamah pada setiap tarikh ditetapkan dan sekiranya sakit, penjamin perlu hadir mengemukakan sijil sakit dari hospital dan klinik kerajaan.

Pada Oktober tahun lalu, kesemua mereka didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang namun tiada pengakuan daripada kesemua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan. Pengakuan tidak direkodkan berikutan kes itu dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan yang dibaca berasingan , mereka didapati menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Kumpulan GISBH di sebuah tempat di Jalan Desa, di Bandar Country Homes, Rawang antara Oktober 2020 hingga 11 September 2024.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang membawa penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat