Vaksin AstraZeneca Selamat, Kajian Klinikal Rumus Tiada Isu Keselamatan – Dr Adham

PUTRAJAYA – Vaksin COVID-19 jenis AstraZeneca adalah selamat digunakan di Malaysia, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba hari ini.

Mengambil maklum isu status keselamatan vaksin AstraZeneca di luar negara, Dr Adham memaklumkan bahawa COVID-19 Vaccine AstraZeneca Solution for Injection (MAL21036009ACZ) daripada pemegang pendaftaran AstraZeneca Sdn Bhd yang telah didaftarkan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada 2 Mac lepas (2021) adalah selamat digunakan di Malaysia.

Menurutnya data keselamatan vaksin COVID-19 AstraZeneca yang diperolehi daripada kajian klinikal setakat 4 November 2020 yang melibatkan kira-kira 12,000 sukarelawan, menunjukkan tiada kesan sampingan yang teruk dilaporkan.

Beliau berkata kesan sampingan yang sering dilaporkan adalah sakit pada tempat suntikan, keletihan dan pening kepala serta dilaporkan sebagai ringan (mild) atau sederhana (moderate).

“Data juga menunjukkan kesan sampingan ini dilaporkan berkurang pada suntikan dos kedua berbanding dos pertama,” katanya dalam kenyataan berhubung isu status keselamatan vaksin COVID-19 AstraZeneca.

Menurutnya lagi, kajian klinikal juga merumuskan bahawa tiada sebarang isu keselamatan berkenaan kesan ke atas profil dan kandungan darah termasuk penggumpalan darah setelah menerima suntikan vaksin itu.

Dr Adham berkata AstraZeneca Sdn Bhd telah mengadakan satu perjumpaan dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) pada 17 Mac lepas untuk menjelaskan situasi sebenar berkenaan isu keselamatan vaksin COVID-19 AstraZeneca, terutamanya berkaitan dengan kesan sampingan penggumpalan darah (thromboembolic events).

Menurut syarikat itu, 17 juta orang awam telah menerima vaksin COVID-19 AstraZeneca di Kesatuan Eropah (EU) dan United Kingdom (UK) setakat 8 Mac lepas (2021), dan terdapat 15 kes deep vein thrombosis (DVT) dan 22 kes pulmonary embolism dilaporkan dalam kalangan penerima vaksin itu.

Menurut Dr Adham, penilaian terperinci daripada semua kes itu telah dibuat oleh pihak syarikat dan dirumuskan bahawa tiada sebarang bukti kukuh yang dapat mengaitkan vaksin COVID-19 AstraZeneca ke atas risiko berlakunya kes thromboembolic event.

Jumlah kes thromboembolic event yang dilaporkan juga adalah jauh lebih rendah berbanding dengan purata kes yang dijangka berlaku dalam saiz populasi berkenaan dan kesimpulan itu juga telah disokong oleh pihak European Medicines Agency (EMA), katanya.

“Oleh itu, adalah dirumuskan bahawa vaksin COVID-19 AstraZeneca selamat digunakan,” katanya.

Dr Adham berkata Kementerian Kesihatan sentiasa komited dalam menjalankan pemantauan secara berterusan bagi memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan vaksin COVID-19 sentiasa terjamin.

Pelaporan kesan ‘advers’ susulan imunisasi vaksin COVID-19 boleh dilakukan melalui anggota kesihatan, pelaporan terus kepada NPRA laman sesawang, www.npra.gov.my atau melalui aplikasi MySejahtera bagi kesan advers ringan, katanya.

Pada 15 Mac lepas, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata Malaysia akan meneruskan proses penerimaan dan pembelian vaksin COVID-19 jenis AstraZeneca memandangkan tiada bukti menunjukkan vaksin itu menyebabkan darah beku.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu berkata Malaysia telah menerima maklumat daripada AstraZeneca berhubung kesan vaksinasi dan setakat ini, tiada data menunjukkan kaitan langsung antara pemberian suntikan vaksin itu dengan kes darah beku yang menyebabkan kematian di beberapa negara.

Beberapa negara seperti Denmark, Norway, Iceland dan Thailand sebelum ini dilaporkan menggantung sementara penggunaan vaksin itu susulan laporan berlaku pembentukan darah beku ke atas beberapa individu selepas menerima suntikan. – Bernama

Topik Hangat

50 Buffet Ramadhan 2021 Kuala Lumpur Selangor

Bulan puasa kini menjengah, namun sudahkah anda jumpa destinasi buffet untuk sesi iftar nanti? Atau anda masih tercari-cari destinasi buffet yang mana yang patut anda...

UMNO 3.0 Sedia Singkir Zahid, Najib Termasuk Mat Hasan Ogos Ini : Laporan

KUALA LUMPUR - Spekulasi tersebar luas berkait rancangan yang sedang berjalan untuk menyingkirkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan pendahulunya Datuk...

Hakim kelihatan ‘terdorong’ putuskan Najib bersalah – Peguam

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini diberitahu, hakim dalam perbicaraan kes Datuk Seri Najib Razak berkaitan dana SRC International Sdn Bhd, bagaikan 'terdorong' untuk memutuskan...

Berita Berkaitan

Kanak-Kanak Perempuan 9 Tahun Ditemui Maut Gantung Diri – Polis

KULAI – Seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun ditemui maut dalam keadaan menggantung diri di kediaman keluarganya di Flat Temenggong, di sini petang semalam. Ketua...

PKPD Di Empat Kawasan Di Sabah, Kelantan dan Pahang Bermula Esok

KUALA LUMPUR - Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Taman Tawau Lama dan Kampung Batu Payung, Tawau, Sabah; Kolej Tahfiz Sains Nurul...

Jangkitan Meningkat, 2,551 Kes Baru Covid-19 Direkodkan Hari Ini

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan sebanyak 2,551 kes baharu penularan virus Covid-19, hari ini, menjadikan kes kumulatif 370,528. Ketua Pengarah Kesihatan Tan...