KUALA LUMPUR- Kerajaan bercadang untuk memperkenalkan Cukai Barangan Mewah mulai tahun 2023 dengan had nilai tertentu mengikut jenis
barang mewah antaranya jam tangan mewah dan barangan fesyen mewah.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selaras amalan terbaik antarabangsa, kerajaan akan mengkaji untuk memperkenalkan Cukai Keuntungan Modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat mulai tahun 2024 pada kadar yang rendah.
Ujarnya, kerajaan akan mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkaitan untuk meneliti perincian cadangan ini.
Selanjutnya kata beliau, kerajaan juga bercadang mengenakan duti eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape.
“Walaupun vape bernikotin masih tidak sah di sisi undang-undang, hakikatnya telah dijual secara berleluasa dan dianggarkan bernilai lebih 2 bilion ringgit.
“Alangkah baik sekiranya ia dikawal selia dan dikenakan cukai supaya tidak menggalakkan penggunaan vape,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 pada Jumaat.
Kerajaan menyokong ikhtiar Generational Endgame (GEG) dan bersetuju bahawa separuh daripada hasil duti eksais ini akan diperuntukkan semula kepada Kementerian Kesihatan (KKM) sebagai usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan, kata Perdana Menteri.
Tambah beliau, bagi mengurangkan ketirisan, usaha penguatkuasaan agensi Kerajaan akan terus dipergiat bersama-sama pihak industri bagi mengekang ketirisan hasil dan subsidi angkara sindiket penyeludupan seperti diesel, arak dan rokok.
“Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan melaksanakan semula program pengakuan secara sukarela.
“Melalui program ini, pengampunan ke atas penalti 100 peratus akan diberikan bagi pengakuan sukarela mulai 1 Jun 2023 hingga 31 Disember 2024,” katanya.