KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengambil pendekatan yang progresif dalam konteks subsidi bersasar atau struktur percukaian bagi melindungi golongan kurang bernasib baik dan mengharapkan pemahaman rakyat yang lebih kaya untuk menggalas tanggungjawab secara bersama.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, antara ikhtiar yang telahpun diperkenalkan termasuk; agihan dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang lebih kepada rakyat yang memerlukan.
“87 peratus ahli dengan simpanan kurang 30 ribu ringgit telah diberi dividen 5.1 sen per unit. Manakala, simpanan melebihi 30 ribu ringgit menerima dividen 4.6 sen per unit,” katanya di Dewan Rakyat ketika membentangkan Belanjawan 2023 pada Jumaat.
Anwar yang juga Perdana Menteri memberitahu, Jabatan Perangkaan melaporkan kumpulan 20 teratas (T20) menguasai 47 peratus atau hampir separuh jumlah pendapatan isi rumah.
“Dari sudut tabungan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kumpulan T20 memiliki 80 peratus daripada keseluruhan jumlah simpanan KWSP.
“Mengambilkira pendapatan dan kekayaan negara yang tertumpu kepada kumpulan atasan atau golongan elit mahakaya, adalah wajar agihan hasil negara ditumpukan kepada golongan berpendapatan rendah dan menengah,” ujarnya.