KUALA LUMPUR – Kerajaan menyasarkan 130 ribu rakyat dilepaskan daripada status muflis dengan lulusnya pindaannya.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan rakyat yang diisytihar muflis berhak punyai peluang kedua.
“Setakat Januari, lebih 260 ribu kes muflis telah direkodkan yang turut melibatkan anak-anak kita majoritinya Melayu yang punyai potensi menyumbang kepada ekonomi negara.
“Kerajaan akan meminda Akta Insolvensi 1967 supaya kes muflis dapat dilepaskan secara automatik pada masa yang singkat.
“Sementara menunggu pindaan, kes-kes kecil yang hutangnya kurang RM50 ribu yang memenuhi syarat akan dilepaskan
serta-merta mulai 1 Mac ini,” umum beliau dalam pembentangan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Sementara itu, Perdana Menteri juga menyebut, golongan banduan juga wajar mendapat peluang kedua.
“Bagi kepentingan dan asimilasi semula ke dalam masyarakat, banduan akan terus diberi latihan secukupnya melalui program Skill for Inmate.
“Majikan juga digalakkan untuk menggaji banduan termasuk bekas penghuni Sekolah Henry Gurney dan institusi perlindungan dan pemulihan JKM dan layak mendapat potongan cukai tambahan.
“Program Agro Penjara untuk banduan terlibat dalam aktiviti pertanian yang dilaksanakan di atas tanah penjara seluas 70 hektar akan terus diperkasa dengan peruntukan RM10 juta,” katanya.
Kerajaan Perpaduan sentiasa prihatin akan keselamatan masyarakat kita, terutamanya wanita dan kanak-kanak, kata Anwar.
“Namun, permasalahan melibatkan wanita dan kanak-kanak masih dilihat membimbangkan saat ini.
“Bahagian D11, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bertindak lebih agresif dalam menyiasat kes-kes seksual, wanita dan kanak-kanak.
“Antaranya, sebuah unit khas di bawah D11 akan ditubuhkan khusus untuk membanteras aktiviti pornografi kanak-kanak dan bekerjasama dengan pelbagai agensi untuk mencari pelaku yang terlibat.
“Pada masa sama, kerajaan menyediakan RM8 juta bagi memperkukuh peranan Pusat Sokongan Sosial Setempat sebagai tempat intervensi awal isu kesihatan mental dan keganasan rumah tangga,” katanya.
Selain itu, tambah Anwar lagi, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan mewujudkan Jabatan Pembangunan Kanak-kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk memberikan perkhidmatan sokongan lebih komprehensif kepada kanak-kanak.
Perkembangan lain katanya, syarikat yang menyediakan perkhidmatan kredit pengguna seperti syarikat pemfaktoran dan Buy Now Pay Later perlu dikawal bagi melindungi hak pengguna.
“Bagi menjamin layanan yang adil serta melindungi hak rakyat dan perniagaan, Kerajaan akan menggubal Akta Kredit Pengguna serta menubuhkan Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna bagi mengawal selia perniagaan kredit yang dijangka akan dibentangkan pada tahun ini.
“Bagi membantu rakyat susah mendapat pembelaan yang adil dan saksama, Jabatan Bantuan Guaman akan menaikkan had kelayakan mendapatkan bantuan guaman penuh daripada RM30 ribu kepada RM50 ribu.
“Fungsi Jabatan Bantuan Guaman juga akan diperluas meliputi kes-kes sivil dan syariah. Melangkah ke hadapan, Kerajaan akan
meniliti ikhtiar untuk menggubal Akta yang khusus bagi menawarkan bantuan guaman percuma bagi kes jenayah supaya rakyat susah turut mendapat akses kepada keadilan,” katanya.