Kerajaan Madani tak wajar biarkan amalan panggil mayat mohon pertolongan – Dr Maza

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan Madani diingatkan supaya tidak membiarkan khurafat tersebar dalam masyarakat kerana ia jelas tidak bertamadun.

Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin menempelak pengurusan Radio IKIM yang sepatutnya untuk membawa kemajuan umat Islam, tetapi menggalakkan menyeru selain Allah, memanggil mayat untuk memohon pertolongan.

“Apa jadi dah dengan pengurusan hari ini? Radio IKIM yang sepatutnya untuk membawa kemajuan umat Islam, tetapi menggalakkan menyeru selain Allah, memanggil mayat untuk memohon pertolongan.

“Kerajaan Madani jika membiarkan hal ini bererti membiarkan khurafat tersebar dalam masyarakat yang sepatutnya berketamadunan.

“Kalau dahulu nombor ekor diminta di kubur, nanti di bawah kempen “minta tolong mayat” yang digalakkan oleh IKIM dan para pemuja kubur, semua geng nak kaya pergi ke kubur minta kekayaan.

“Para pemuja kubur pula ada program berbayar yang dirancang untuk mengaut keuntungan atas syirik dan khurafat yang disebarkan. Banyak kembara kubur akan dibisneskan dengan yang mahal. Ke manakah hendak dibawa masyarakat hari ini?!

“Madani ke arah kemajuan, bukan kekhurafatan,” bidas Dr Maza dalam kenyataan di Facebook.

Pada 19 Dis baru-baru ini Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof memaklumkan tindakan siasatan dan keputusan penarikan balik tauliah mengajar Mohd Masri Mohd Ramli dilaksanakan dengan teratur mengikut undang-undang yang berkuat kuasa.

Beliau berkata, siasatan itu dibuat susulan aduan awam diterima berhubung dengan salah laku pemegang tauliah mengajar terbabit.

“Dalam hal ini, isu istighathah dan tauhid tiga yang ditimbulkan dalam Facebook milik Masri Ramli pada 17 Disember 2024 tersebut telah dijelaskan dalam fatwa yang telah diwartakan di negeri Selangor,” jelasnya.

Menurutnya, isu istighathah ini iaitu berdoa kepada ALLAH SWT menerusi (wasilah) para anbiya’, auliya’ dan solihin sama ada masih hidup atau meninggal dunia adalah termasuk dalam perkara khilaf (perbezaan pandangan) dalam kalangan para ulama.

“Oleh itu, adalah lebih baik dan wajar untuk tidak menghukumkan syirik secara mutlak terhadap perkara yang telah diharuskan oleh sebahagian para ulama.

“Isu khilafiyyah ini telah dijelaskan dalam Fatwa Menangani Persoalan Bid’ah Dalam Masalah Ikhtilaf/Khilaf Perkara Furu’yang telah diwartakan pada 31 Julai 2014,” ujarnya.

Ujarnya lagi, fatwa tersebut menjelaskan bahawa pandangan jumhur ulama sewajarnya menjadi ikutan masyarakat Islam dengan mengutamakan perkara asas dalam berdakwah dan tidak membesar-besarkan perkara khilafiyyah yang boleh menggugat perpaduan umat Islam.

“Berkaitan dengan isu tauhid tiga perkara ini juga telah dinyatakan dalam Fatwa Hukum Buku Karangan Dr Mohd Naim Yasin Bertajuk “Al-Iman Arkanuhu Wa Hakikatuhu Wa Mubtilatuhu” dan Buku Terjemahannya Dalam Bahasa Melayu Bertajuk “Al-Iman, Rukunnya, Hakikatnya, Pembatalannya” yang telah diwartakan pada 21 Jun 2018,” ujarnya.

Fatwa tersebut menjelaskan bahawa buku tersebut bercanggah dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar mengikut pegangan Ahli Sunah Waljamaah kerana mengandungi elemen, antaranya, pembahagian Tauhid Rububiyah, Tauhid Uluhiyyah dan Tauhid Asma’ Wa Sifat (Tauhid Tiga) yang tidak disebut oleh ulama Salaf dan Khalaf.

Justeru, MAIS menegaskan bahawa mana-mana pihak termasuk pemegang tauliah mengajar yang melanggar atau mempertikai fatwa yang telah diwartakan adalah melakukan kesalahan di bawah seksyen 12(c) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

“Dalam hal ini, jika kesalahan itu dilakukan oleh pemegang tauliah mengajar, tauliah mengajarnya juga boleh ditarik balik menurut Peraturan- Peraturan Tauliah Bagi Pengajaran Agama Islam (Negeri Selangor) 2024.

“Seterusnya, MAIS juga menegaskan bahawa mana-mana orang berkelayakan boleh memohon tauliah mengajar bagi tujuan pengimarahan masjid dan surau serta melaksanakan dakwah di negeri Selangor,” ujarnya.

Namun, beliau menambah, semua pihak hendaklah pada setiap masa mematuhi undang-undang yang sedang berkuat kuasa termasuk Peraturan-Peraturan Tauliah Bagi Pengajaran Agama Islam (Negeri Selangor) 2024 serta fatwa yang telah diwartakan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat