TAWAU – Kehadiran Perikatan Nasional (PN) di Sabah adalah bertujuan membangkitkan kesedaran rakyat negeri ini untuk menentukan masa depan orang Sabah.
Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan kedatangan PN di Sabah bukan untuk melancong sebaliknya untuk bangkitkan kesedaran rakyat tentang peri pentingnya mereka menentukan nasib masa depan orang Sabah.
“Kami bukan datang sini untuk melancong tapi mengingatkan tentang kepentingan menentukan nasib dan masa depan orang Sabah …jadi kami ada pengalaman dalam PN, ramai sudah ada pengalaman di peringkat Pusat negeri.
“Sepanjang menjelajah saya tengok ‘body language’ sokongan kepada PN amat memberangsangkan, bila saya turun (berkempen) mereka panggil saya Abah, mereka ingat sejarah yang lepas.
“Atas perkiraan itu saya amat berharap pengundi-pengundi akan sokong calon PN yang kita tempatkan di 42 DUN pada 29 Nov ini.
“Kerana saya telah jelaskan matlamat kita tidak lain adalah untuk membantu supaya Sabah akan dapat terus kita majukan, saya sudah lancarkan manifesto ada 159 tawaran yang kita sebutkan, saya harap pengundi di Sabah baca kerana itulah satu janji yang kita akan tunaikan, kita tak pernah bohong.
“Track record yang lepas sewaktu kita mentadbir negara segala apa yang kita fikir penting dan perlu untuk rakyat seperti di Sabah ini, itu akan kita laksanakan, tidak ada suatu yang mustahil kerana perancangan untuk kita keluarkan tawaran itu berdasarkan pertimbangan yang berasas bukan petik dari mana-mana, ada fakta yang bagi kami amat bermakna untuk merancang masa depan Sabah 5 tahu ke depan,” kata Presiden Bersatu itu ketika ditemui di Tawau pada Ahad.
Menurut Muhyiddin apabila bercakap mengenai tawaran PN yang akan menubuhkan Tabung Masa Depan Sabah (SFF) iaitu sebuah dana kekayaan berdaulat dengan modal permulaan berperingkat sebanyak RM10 bilion jika diberi mandat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ini akan jadi punca sumber yang akan berterusan untuk jangka masa panjang daripada sumber itu.
“Nanti kita boleh gunakan untuk pembangunan dan bantuan.
“Selain itu ada 12 tunjang atas dasar itu untuk semua peringkat. Justeru wajar pengundi-pengundi di Sabah ini mengambil kira secara serius.
“Pengalaman di peringkat pusat, di peringkat negeri, saya pernah jadi Menteri Besar dan PM. Sekarang ini kita ada empat Menteri Besar di negeri-negeri utara dan juga bekas-bekas Menteri Besar pun kita ada dalam pasukan kita ini.
“Selain daripada jawatan Menteri Kabinet, Menteri Negeri dan sebagainya, jadi itu adalah bukti bahawa bila kita tawarkan sesuatu, kita serius.
“Dan kita cadangkan ada satu badan pemantau selepas kita tubuhkan kerajaan negeri Sabah, yang terdiri daripada tokoh-tokoh korporat, profesional, dan anak watan Sabah, yang akan meneliti sama ada apa yang tersebut di dalam manifesto itu dilaksanakan atau tidak.
“Jadi kalau mana yang tidak dilaksanakan, mereka akan beritahu ini janji kosong. Jadi sebab itu kita buktikan kita akan laksanakan untuk kepentingan rakyat Sabah,” ujar Muhyiddin.



