CYBERJAYA – Akaun milik Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan ahli keluarga terdekatnya didakwa dibekukan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), lapor portal Sinar.
Portal itu yang memetik sumber berkata perkembangan ini dipercayai sebahagian daripada siasatan berterusan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) itu yang dinamakan dalam kertas pertuduhan kes rasuah RM15 juta membabitkan ahli perniagaan, Datuk Seri Sim Choo Thiam.
Untuk rekod, pada Jun lalu media melaporkan, kediaman Hamzah di Damansara, Kuala Lumpur diserbu sepasukan pegawai LHDN susulan dakwaan terdapat beberapa cukai yang tidak dilaporkan.
Sebelum itu Hamzah turut mengesahkan beliau dipanggil SPRM bagi memberi keterangan berhubung satu kes pendakwaan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Dalam pada itu Hamzah mendakwa, kes pertuduhan di mahkamah membabitkan ahli perniagaan berkenaan jelas bertujuan untuk merosakkan nama baiknya, Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).
Pada 11 Ogos lalu, Hamzah dilapor mengeluarkan surat tuntutan kepada kerajaan sebagai menjawab dakwaan mengaitkan beliau dengan kes rasuah.
Beliau menghantar surat yang sama kepada SPRM dan Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki.
Menerusi surat berkenaan, Ahli Parlimen Larut itu menuntut supaya dihentikan segala bentuk tindakan terhadap satu pihak, yang merujuk ahli perniagaan terbabit.
Beliau berkata, ia dilakukan susulan satu laporan polis dibuat Choo Thiam pada 12 Jun lalu, yang didapatinya mengandungi kecenderungan terhadap satu bentuk salah guna kuasa oleh agensi tertentu, kata laporan itu lagi.
Mengikut empat pertuduhan rasuah yang berlangsung pada Mei lalu, ahli perniagaan berusia 63 tahun itu dituduh melakukan kesalahan meminta dan tiga pertuduhan menerima rasuah membabitkan RM15 juta antara Jun dan 30 Julai 2021 sebagai dorongan untuk Hamzah, yang ketika itu Menteri Dalam Negeri untuk membantu Asia Coding Centre Sdn Bhd mendapatkan sebarang projek daripada agensi di bawah kementerian berkenaan.