KUALA LUMPUR – Semua Umno Bahagian berhak menyuarakan usul dan pandangan masing-masing termasuk berhubung penarikan semula penggantungan keahlian Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Penerangan Umno Datuk Seri Azalina Othman Said, bagaimanapun menegaskan pimpinan Tertinggi Umno belum menerima sebarang usul berkenaan yang dikatakan dibuat Umno Bahagian Sembrong.
“Semua (Umno) Bahagian boleh buat usul atau permohonan mereka. Tidak ada masalah. Itu hak mereka. Tapi bagi saya, parti Umno ini seperti mana parti-parti politik. Memang Umno adalah parti yang mempunyai cara mereka sendiri.
“Setakat ni saya tidak jumpa apa-apa permohonan (berhubung usul tarik balik penggantungan Hishammuddin) lagi. Setakat ini saya tidak nampak apa-apa permohonan. Mungkin dalam mesyuarat pengurusan (Umno),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Umno Bahagian Sembrong supaya Hishammuddin yang juga bekas Ketua Umno Bahagian itu diterima semula dalam kepemimpinan parti.
Perkara itu dibangkitkan ketika Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Sembrong di Rumah Komuniti Umno Sembrong, Sabtu lalu, lapor BH.
Difahamkan ini tahun kedua Umno Bahagian Sembrong membawa usul supaya penggantungan Hishammuddin ditarik balik serta-merta tanpa syarat.
Pengerusi Perhubungan Umno Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, ketika berucap merasmikan mesyuarat itu memulakan ucapan dengan mengenang peranan besar Hishammuddin yang dianggap sebagai ‘sifu’ dalam permulaan karier politiknya.
“Sembrong ini bukan sekadar kawasan politik, ia tempat saya mula belajar dan mengenal erti perjuangan dan orang yang membawa saya ke sini ialah Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein,” katanya.
Onn Hafiz berkata, walaupun Hishammuddin tidak hadir dalam majlis berkenaan, usul dikemukakan mencerminkan penghargaan ahli akar umbi terhadap kepemimpinan Hishammuddin.