KUALA LUMPUR – Pendaftaran SIS Forum (Malaysia) didapati tidak menggunakan sebarang perkataan membabitkan istilah agama ketika mendaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sejak 1993.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ia berdaftar sebagai Syarikat Terhad Menurut Jaminan (CLBG) di bawah nama ‘SIS Forum (Malaysia)’.
Katanya, tiada perkataan ‘Islam’ didaftarkan sebagai nama syarikat.
“Dari sudut bidang kuasa KPDN, khususnya menerusi SSM, nama didaftarkan ialah SIS Forum (Malaysia) dan tidak mengandungi perkataan ‘Islam’. Oleh itu, kita tidak merujuknya kepada Jakim.
“Sebelum ini, memang sudah ada garis panduan, ketika ia didaftarkan, syarikat berkenaan tidak menggunakan sebarang perkataan membabitkan istilah agama,” katanya kepada Berita Harian.
Armizan berkata, garis panduan penamaan syarikat khususnya membabitkan istilah agama seperti ‘Islam’ dan ‘Muslim’, memang sudah termaktub mengikut Akta Syarikat 2016.
Mengikut akta itu, perkataan ‘Islam’ dikategorikan sebagai istilah terkawal dan mana-mana syarikat yang ingin menggunakannya perlu mendapatkan kebenaran Jakim.
SSM juga menetapkan syarat pihak yang ingin mendaftar nama perusahaan perlu mengelak daripada menggunakan perkataan yang menyentuh, melambangkan unsur keagamaan atau kepercayaan serta melambangkan sesuatu agama.
Pada 19 Jun, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, menggesa SIS Forum (Malaysia) tidak lagi menggunakan perkataan ‘Sisters in Islam’ ke atas apa-apa bentuk penerbitan di mana-mana platform yang dikaitkan dengan syarikat itu.
Gesaan diterbitkan oleh Pejabat DYMM Sultan Selangor di Facebook menyusuli keputusan Mahkamah Persekutuan yang menyentuh pemakaian fatwa yang tidak terpakai kepada SIS Forum, pertubuhan atau institusi.
Baginda tidak mahu perkataan ‘Islam’ sewenang-wenangnya digunakan ke atas apa-apa bentuk penerbitan di mana-mana platform yang dikaitkan dengan syarikat berkenaan untuk faedah dan kepentingannya.
Mahkamah Persekutuan pada hari sama, membenarkan rayuan SIS Forum dan pengasasnya, Zainah Mahfoozah Anwar, mencabar fatwa Jawatankuasa Fatwa Selangor mengisytiharkan pertubuhan itu menyeleweng daripada ajaran Islam pada 2014.
Sidang empat hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan majoriti 3-1 megetepikan fatwa berkenaan, sejauh mana ia terpakai kepada syarikat dan institusi, lapor Bernama.
SIS Forum berusaha membatalkan fatwa yang mengisytiharkan organisasi itu menyimpang atas alasan ia didakwa menganut ideologi ‘liberalisme’ dan ‘pluralisme agama’.