MOSCOW- Kemungkinan penutupan Selat Hormuz oleh Iran tidak akan mengecualikan Amerika Syarikat (AS) daripada kesan yang timbul, malah tiada negara akan terselamat daripada gangguan pasaran minyak global, kata Ketua Eksekutif Dana Pelaburan Terus Russia (RDIF), Kirill Dmitriev, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Pihak berkuasa Iran sebelum ini beberapa kali menegaskan bahawa mereka berhak menutup Selat Hormuz sebagai tindak balas terhadap serangan oleh Israel.
Semalam, Parlimen Iran bersetuju bahawa Selat Hormuz wajar ditutup, menurut anggota Suruhanjaya Keselamatan Negara dan Dasar Luar Parlimen, Esmail Kowsari.
“Harga minyak ditentukan secara global.
“Jika Selat Hormuz ditutup, Amerika Syarikat juga tidak akan terlepas. Tiada siapa kebal daripada kejutan minyak dunia – harga di pam minyak akan melonjak,” kata Dmitriev menerusi platform X.
Menurut data dagangan, sehingga 11.48 malam tadi, niaga hadapan minyak Brent mencatat kenaikan 2.45 peratus kepada AS$77.33 setong, susulan peningkatan ketegangan konflik antara Iran dan Israel.