Oleh: Zihan Zari
LIMBANG – Seorang anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) dari Batalion Ke-7 Rejimen Sempadan (RS) berpengkalan di Kem Kidurong, Bintulu didapati hilang di sempadan Malaysia-Brunei.
Anggota yang hilang itu, Prebet Muhammad Syafiq Hilmi Abd Halim bersama kakitangan Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) Sarawak sedang melaksanakan tugas penandaan dan pengukuran sempadan Malaysia-Brunei di kawasan Ulu Tutong (E500) ke Bebuloh (E600) Limbang.
Menerusi kenyataan Sel Perhubungan Raya Markas TDM memaklumkan, ketiadaan Muhammad Syafiq Hilmi disedari pada Selasa lalu jam 12 tengah hari ketika ketua kumpulan mendapatinya tiada di posisi belakang kumpulan.
Beliau berkata, tugas pengukuran sempadan itu bermula 11 Jun lalu sehingga 2 September ini dilaksanakan di bawah kawalan Markas 31 Briged Sempadan.
Menurutnya, kejadian berlaku pada kedudukan di jarak 2 km di atas permatang sempadan Malaysia-Brunei dari tanda sempadan E500 menghala ke arah E600.
Katanya, usaha awal mencari dan mengesan segera dilaksanakan oleh kumpulan tersebut oleh dua anggota tentera dan lima anggota JUPEM, namun gagal menemui anggota terbabit.
Gerakan pencarian masih diteruskan oleh TDM di kawasan tersebut turut melibatkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta agensi lain.
Ianya dikoordinasikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersama-sama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia (JBPM)
“Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) turut sama mengatur gerak aset mereka dalam membantu usaha pencarian itu bersama TDM.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu misi pencarian ini serta menjaga perasaan waris anggota terlibat,” menurut kenyataan itu lagi. – Suara.TV