Zulinda Lakar Sejarah Wanita Pertama Dilantik Laksamana Pertama Maritim

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Kapten Maritim Zulinda Ramly melakar sejarah menjadi wanita pertama dinaikkan pangkat sebagai Laksamana Pertama Maritim Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sejak penubuhannya 18 tahun lalu.

Zulinda, 46, adalah antara sembilan pegawai yang dinaikkan pangkat dalam majlis pemakaian pangkat disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Maritim Malaysia yang juga Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Saiful Lizan Ibrahim di sini, semalam.

Maritim Malaysia dalam kenyataan, berkata Zulinda memegang banyak portfolio membabitkan operasi dan antara kejayaan dicapai beliau adalah mengetuai pelbagai operasi khas membabitkan jenayah rentas sempadan serta mengkoordinasi operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) untuk negeri di utara Semenanjung.

Katanya, Zulinda juga bertindak sebagai Ketua Gugus Tugas Operasi Benteng (KGT 24.1) bagi membanteras kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ketika pandemik COVID-19.

Ibu kepada empat anak yang memiliki Diploma Pengurusan Teknologi (Pengangkutan Pertahanan Maritim) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 1998 ini adalah bekas pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebelum ditukar lantik ke Maritim Malaysia pada 15 Oktober 2008.

Selain Zulinda, Pengarah Maritim Sabah dan Labuan, Datuk Mohd Rosli Abdullah dinaikkan pangkat daripada Laksamana Pertama Maritim kepada Laksamana Muda Maritim dan ditempatkan sebagai Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim, Ibu Pejabat Maritim Malaysia Putrajaya.

Kenyataan itu menyebut Pengarah Bahagian Operasi Udara, Laksamana Pertama Maritim, Syed Islam Shahajam turut dinaikkan pangkat daripada Kapten Maritim kepada Laksamana Pertama Maritim dan Pengarah Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS), Laksamana Pertama Maritim Vincent Rajamony dinaikkan pangkat daripada Kapten Maritim kepada Laksamana Pertama Maritim.

Senarai penerima lain adalah Laksamana Pertama Maritim Hamizan Harun sebagai Pengarah Bahagian Carilamat dan Bantuan Bencana Ibu Pejabat; Pengarah Maritim Pulau Pinang, Laksamana Pertama Maritim Abd Razak Mohamed bakal menerajui Maritim Sabah dan Labuan sebagai pengarah maritim negeri.

Tiga lagi pegawai penerbang maritim adalah Mohd Rais Othman, Ismail Mohamadon dan Anahar Mohd @ Yahya yang dinaikkan pangkat daripada Leftenan Komander Maritim kepada Komander Maritim. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat