Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Balai Seni Negara kembali ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 (PBAKL 2025) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dekat sini, mulai 23 Mei hingga 1 Jun ini.
Balai Seni Negara dalam kenyataan berkata pada tahun ini, reruainya (9 -16) ditempatkan di Aras 4, Khemah Plaza Merdeka (Marquee Tent), dengan pelbagai aktiviti menarik serta program kreatif untuk seisi keluarga.
Di samping itu, menawarkan bahan bacaan seni visual yang berkualiti tinggi kepada para pengunjung serta jualan buku secara kombo dengan tawaran harga yang menarik.
Menurutnya, lebih 140 judul buku terbitan Balai Seni Negara akan dibawa khas ke reruai, merangkumi koleksi penulisan daripada pengkaji dan tokoh seni tanah air yang menghimpunkan wacana, dokumentasi serta sorotan penting berkaitan pameran-pameran yang pernah dianjurkan oleh
Balai Seni Negara.
Buku-buku ini bukan sahaja memperkaya wacana seni tempatan, malah turut menjadi rujukan penting bagi pelajar, pengkaji serta peminat seni visual tanah air.
Menurutnya lagi, pengunjung juga berpeluang mendapatkan barangan cenderamata eksklusif yang boleh didapati termasuk botol minuman (tumbler), beg tote, NAG mug, lanyard, topi NAG, buku catatan, dan poskad.
Selain itu, pelbagai barangan istimewa lain yang sesuai untuk pengumpul dan pencinta seni visual.
Katanya, pelbagai aktiviti interaktif dan kreatif yang menarik turut disediakan sepanjang tempoh pameran ini berlangsung yang dijangka akan mendapat sambutan ramai khususnya daripada keluarga dan pengunjung muda.
Antaranya, iaitu, ‘Blooming Joy: DIY Bookmark & Doodle Charm: DIY Keychain’, ‘Luahan Kata’, ‘Live Caricature & Tutorial for Easy Sketching Steps by Kak Ai’, ‘Calligraphy with You’ dan ‘Shrink Plastic Demo’
“Sebagai acara kemuncak, pengunjung berpeluang menyaksikan atau menyertai sesi istimewa di mana mereka dijemput untuk mengambil bahagian dalam sesi ‘Live Book Sketching’.
“Sesi ini akan menampilkan sasterawan tersohor tanah air, Datuk Dr. Lim Swee Tin dengan kostum ‘Menora’, pada hari terakhir PBAKL 2025, ”katanya lagi.
“Pelbagai aktiviti interaktif lain turut disediakan dan terbuka untuk penyertaan secara walk-in sepanjang program berlangsung, termasuk aktiviti susun padan gambar karya daripada Koleksi Seni Visual Negara serta aktiviti mewarna, yang direka khas untuk menggalakkan penghayatan seni dalam kalangan pengunjung pelbagai peringkat umur.
“Dalam usaha membawa seni lebih dekat kepada masyarakat, Balai Seni Negara turut mengambil bahagian di Pentas Plaza Merdeka dengan pengisian program khas seperti sesi sembang santai bersama Dr. U-Wei Haji Saari dan Mustaffa Ahmad Hidzir (Tapa Otai) berkenaan foto buku ‘STAGES’ 0.1 serta bengkel seni bersama UNEH.
“Kesemua program ini dirangka dengan pendekatan segar, inklusif dan mesra pengunjung, selaras dengan misi Balai Seni Negara untuk memasyarakatkan seni dalam bentuk yang mudah diakses dan difahami, ”tambahnya.
Tambahnya lagi, orang ramai ramai dijemput hadir untuk memeriahkan reruai Balai Seni Negara dan merebut peluang mendapatkan koleksi buku dan cenderamata seni yang eksklusif.
Orang ramai dan peminat seni yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai penyertaan Balai Seni Negara di PBAKL 2025, layari laman sesawang www.artgallery.gov.my atau ikuti media sosial rasmi Balai Seni Negara.-SUARA.TV