KUALA LUMPUR – Datuk Seri Rafizi Ramli menegaskan beliau tidak pandai bermuka-muka bahkan menegaskan tidak pernah mendraf surat meletak jawatan, atau menyatakan tidak akan bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR.
“Saya ingin nyatakan bahawa saya tidak pernah mendraf surat meletak jawatan, atau menyatakan tidak akan bertanding.
“Alasan yang diberikan konon Nurul Izzah Anwar masuk bertanding untuk menyelamatkan parti akibat kekosongan jawatan adalah tidak benar. Saya telah umumkan terlebih dahulu saya akan mempertahankan jawatan seperti yang diminta oleh Presiden sendiri.
“Saya juga tidak pernah berkemas untuk mengosongkan pejabat. Pejabat saya masih kekal bersepah dengan fail-fail hingga ke hari ini. Selepas bercuti selama 4 hari untuk berjumpa dengan akar umbi, saya kekal menjalankan tugas menteri seperti biasa,” jelas Rafizi dalam kenyataan media pada Jumaat.
Jika benar Nurul Izzah bimbangkan kekosongan jawatan Timbalan Presiden, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail boleh sahaja bertanding sebagai timbalan,” balas Ahli Parlimen Pandan itu lagi.
Lebih mudah katanya, Nurul Izzah boleh berhubung dengannya untuk mengesahkan, seperti mana beliau sering berhubung di tahun-tahun 2021 dan 2022 untuk memujuk saya kembali aktif ke arah persediaan PRU2022.
“Dalam pertemuan terakhir pada 20 Mei, Nurul Izzah sekali lagi merayu kepada saya untuk membantunya selepas pemilihan parti. Ada gambaran beliau menawarkan jawatan kepada saya. Saya nyatakan di awal perjumpaan saya tidak berminat dan akan menghormati keputusan pemilihan.
“Alasan yang diberikan ialah kebimbangan beliau dengan barisan kepimpinan baru yang dilihat bakal menimbulkan masalah kepada YAB Presiden dan parti. Secara jelas, beliau berkongsi kebimbangan mengenai niat mereka, rekod mereka, amalan politik mereka dan kesannya kepada parti.
“Inilah sebenarnya jawapan kepada soalan “Ada Apa Dengan Hiruk?”Saya tidak pandai bermuka-muka. Saya diketahui di dalam dan luar parti yang saya tidak selesa dengan beberapa kumpulan, yang pada pandangan saya, tidak menggambarkan reformasi politik yang dibawa PKR. Amalan mereka banyak berkisarkan wang dan keghairahan mereka untuk mendapatkan jawatan bertentangan dengan janji reformasi yang dibawa parti.
“Saya konsisten menolak mereka. Atas alasan ini, saya dituduh ego. Setiap kali ada pemilihan, kumpulan ini bekerjasama untuk menolak calon-calon yang tidak mengamalkan perkara yang sama.
“Saya dituduh memburukkan parti apabila mengkritik amalan-amalan ini secara terbuka. Akhirnya, setelah kumpulan-kumpulan ini diyakini akan membarisi kepimpinan baru PKR, saya juga yang dirayu untuk melawan mereka di dalam parti.
“Jika Nurul Izzah bimbang mengenai amalan mereka, Nurul Izzah sepatutnya tidak bersekongkol dengan mereka demi untuk menang jawatan Timbalan Presiden.
“Insya Allah, tanggungjawab itu menjadi tanggungjawab beliau selepas ini. Allah dan rakyat akan menghakimi kita, melangkaui jeritan reformasi kita di dalam kempen.
“Saya bersyukur saya telah melakukan yang terbaik untuk melepasi ujian kuasa kali pertama ini,” ujar Rafizi.
Dalam kenyataan panjangnya, Rafizi menjelaskan banyak perkara yang ditimbulkan kebelakangan ini, untuk memberi alasan kenapa beliau perlu dikeluarkan dari kepimpinan kanan PKR, adalah tidak bersandarkan kepada fakta dan kebenaran.
“Terkini, tohmahan kononnya Nurul Izzah bertanding kerana saya akan meletakkan jawatan dan telah mengosongkan pejabat.
“Berikut adalah susulan peristiwa mengikut garis masa:
28 Februari – YAB Presiden menasihatkan supaya tidak ada pertandingan bagi jawatan Timbalan Presiden di pelancaran bersama Mesyuarat Agung Tahunan PKR Selangor. Beliau meminta saya diberi laluan mudah.
8 April – YAB Presiden meminta saya kekal bertanding sebagai Timbalan Presiden. Beliau hadir ke acara rumah terbuka Kementerian Ekonomi.
13 April – Pemilihan cabang berlangsung bagi minggu kedua. Keputusan pelik (termasuk badan tanpa kepala, undi hilang) memuncak dan pola keputusan menunjukkan sesuatu tidak kena.
21 April – Sdr Saifuddin Nasution Ismail datang berjumpa di pejabat saya dan kami berbincang lebih 4 jam. Saya maklumkan ada gerakan yang mahu saya tidak lagi menjadi Timbalan Presiden. Saya maklumkan saya terbuka untuk tidak bertanding, sekiranya itu menghentikan kekacauan yang berlaku. Saya nyatakan tidak ada keperluan untuk menggoncang kestabilan parti dan kerajaan hanya untuk mengeluarkan saya. Saya juga akan melepaskan jawatan sebagai Menteri Ekonomi kerana prinsipnya mestilah pimpinan parti yang dipilih yang menganggotai Kabinet.
22 April – Saya berjumpa YAB Presiden. Saya nyatakan perkara yang sama kepada beliau. Beliau tidak bersetuju. Beliau memaklumkan aduan-aduan mengenai sistem dan keputusan di peringkat cabang akan dibincangkan di dalam MPP Khas yang telah dipanggil keesokan hari.
23 April – MPP Khas berlangsung dalam keadaan tegang dan menemui jalan buntu. Mesyuarat berakhir tanpa ada sebarang persetujuan yang jelas mengenai aduan-aduan.
24 April – Oleh kerana tiada jalan penyelesaian yang jelas diputuskan oleh MPP Khas, saya membuat keputusan mengambil cuti untuk berjumpa seberapa banyak cabang yang tidak berpuas hati. Surat memohon bercuti dihantar kepada YAB Presiden. Surat hanya memohon cuti, tidak timbul soal meletak jawatan atau tidak bertanding kerana saya akur dengan permintaan YAB Presiden sebelum itu untuk saya kekal bertanding.
28 April – YAB Presiden menelefon dan mohon berjumpa. Saya mohon untuk saya selesaikan perjumpaan saya dengan akar umbi dan bersetuju berjumpa pada 30 April.
29 April – MPP bersetuju untuk mengadakan audit bebas ke atas sistem dan keputusan pemilihan di peringkat cabang, untuk mengatasi masalah defisit kepercayaan kepada sistem menjelang pemilihan pusat.
30 April – Saya berjumpa YAB Presiden. Beliau sekali lagi mengulangi permintaan untuk saya mempertahankan Timbalan Presiden dan kekal dalam kabinet. Saya menyatakan pandangan saya bahawa sesiapa yang menang Timbalan Presiden mestilah mewakili parti dalam kabinet dan saya wajar menarik diri jika kalah. Jika tidak, PKR dilihat tidak berbeza dari parti lain yang berkisar mengenai kedudukan dalam kerajaan.
6 Mei – Kenyataan-kenyataan media yang disusun oleh individu tertentu (sebahagiannya adalah Setiausaha Politik PM sendiri) mula keluar untuk menunjukkan saya ditolak ketua cabang dan pimpinan kerajaan dari PKR. Kenyataan-kenyataan ini menyatakan sokongan terbuka kepada Nurul Izzah.
7 Mei – Dalam satu kenyataan media, saya mengesahkan saya akan bertanding dan mengalu-alukan penyertaan calon lain.
9 Mei – Penamaan calon bagi jawatan Timbalan Presiden. Nurul Izzah tetap bertanding walaupun tahu bahawa saya akan mempertahankan jawatan.
10 Mei – Kempen HIRUK bermula.
19 Mei – Saudara Saifuddin memohon untuk saya pertimbangkan permintaan Nurul Izzah untuk berjumpa dengan saya.
20 Mei – Saya berjumpa Nurul Izzah dan Saifuddin di rumah Saifuddin.
Semalam, Nurul Izzah mendedahkan mengapa beliau membuat keputusan untuk bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden parti.
Dalam nukilan di laman media sosialnya, bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, wujud kebimbangan tentang tingkah laku penyandang jawatan tersebut, Datuk Seri Rafizi Ramli yang telah mengambil cuti lebih awal, dan mengosongkan pejabat di Kementerian Ekonomi.
Selain itu beliau mendedahkan, kepimpinan parti turut dimaklumkan tentang penyediaan surat meletak jawatan, dipercayai oleh Rafizi sendiri.