KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin dan barisan kepimpinan Perikatan Nasional (PN) dikunjungi delegasi kumpulan pemikir South China Sea Strategic Situation Probing Initiative (SCSPI) dan Jabatan Pengajian China Universiti Malaya (UM).
Dalam pertemuan itu mereka memfokuskan perbincangan isu geopolitik berkait situasi di Laut China Selatan.
“Saya menerima kunjungan delegasi kumpulan pemikir South China Sea Strategic Situation Probing Initiative (SCSPI) dan Jabatan Pengajian China Universiti Malaya bagi membincangkan isu-isu geopolitik terutamanya berkaitan situasi di Laut China Selatan.
“Dalam perbincangan ini, saya memperjelaskan kepentingan dan pendirian Malaysia dalam isu hubungan antarabangsa terutamanya melibatkan negara serantau dan negara kuasa besar dunia, membabitkan keselamatan di Laut China Selatan,” kata Timbalan Presiden Bersatu itu.
Hadir sama Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Wan Ahmad Fayhsal dan Datuk Mumtaz Md Nawi.
Malaysia dan China mengulangi komitmen untuk mengekalkan keamanan, keselamatan dan kestabilan di Laut China Selatan.
Perkara tersebut diketengahkan dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan semasa Lawatan Negara Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia.
Kedua-dua negara menekankan kepentingan menyelesaikan pertikaian melalui cara damai, mematuhi undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS).
Kuala Lumpur – Beijing turut menekankan keperluan semua pihak untuk bersikap menahan diri dan mengelakkan tindakan yang boleh meningkatkan ketegangan di rantau ini.
Kenyataan itu juga menegaskan, penglibatan pihak yang tidak berkaitan secara langsung boleh menjadi tidak produktif kepada usaha tersebut.
Malaysia dan China turut berikrar untuk bekerjasama dengan negara-negara ASEAN lain bagi melaksanakan sepenuhnya Deklarasi Tatalaku Pihak-Pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DOC).
Kedua-dua negara menyatakan keyakinan untuk menyelesaikan Kod Tatalaku (COC) yang berkesan dan substantif menjelang 2026, seperti yang digariskan dalam Garis Panduan untuk Mempercepatkan Penyelesaian Awal COC yang Berkesan dan Substantif.
Inisiatif ini bertujuan untuk mengubah Laut China Selatan menjadi kawasan keamanan, persahabatan dan kemakmuran.