KUALA LUMPUR- Kadar inflasi Malaysia mencatatkan peningkatan perlahan sebanyak 1.4 peratus pada Mac 2025.
Menurut laporan terbaharu Indeks Harga Pengguna (IHP) yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), bacaan mata indeks IHP adalah 134.1, meningkat daripada 132.2 pada bulan sama tahun lalu.
Peningkatan ini sebahagian besarnya dipacu oleh kenaikan sederhana dalam beberapa kumpulan utama perbelanjaan seperti penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan dan perkhidmatan (3.6 peratus), serta restoran & perkhidmatan penginapan (2.9 peratus).
Namun begitu, kenaikan ini lebih perlahan berbanding Februari 2025.
Ketua Perangkawan Malaysi Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin menjelaskan bahawa beberapa kategori mencatatkan peningkatan lebih tinggi seperti pendidikan (2.2 peratus) dan rekreasi, sukan dan kebudayaan (1.7 peratus), manakala kategori seperti insurans dan perkhidmatan kewangan, kesihatan dan pengangkutan kekal stabil.
“Kategori makanan dan minuman yang menyumbang hampir 30 peratus daripada keseluruhan IHP, kekal mencatatkan peningkatan 2.5 peratus.
“Peningkatan ketara dapat dilihat pada subkategori makanan laut seperti ikan siakap (10.6 peratus), sotong (6.7 peratus) dan ikan selayang (1.4 peratus)”, katanya.
Harga santan turut melonjak susulan kekurangan bekalan kelapa global.
Santan segar melonjak kepada 29.4 peratus manakala santan segera meningkat 11.7 peratus.
Sebagai langkah kawalan, FAMA telah mengimport lebih 1,000 tan kelapa tua bernilai RM2.42 juta menjelang Ramadan dan Aidilfitri.
Sebaliknya, harga susu dan produk tenusu kekal menurun, dengan susu segar merekodkan penurunan sebanyak -2.4 peratus manakala telur kekal negatif pada -3.4 peratus.
Sayur-sayuran seperti bawang merah besar (-18.0 peratus), sawi Jepun (-8.1 peratus) dan tomato (-4.7 peratus) juga menunjukkan penurunan harga.
Harga daging secara keseluruhan mencatatkan penurunan -0.4 peratus, tetapi daging ayam yang menyumbang lebih 30 peratus dalam kategori daging mencatatkan kenaikan kepada 2.3 peratus.
Selain itu, pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Aidilfitri antara 24 Mac hingga 7 April turut membantu mengekang tekanan harga.
Antara barangan dikawal termasuk daging, ikan, sayuran dan kelapa.
Empat barangan tambahan seperti lobak merah dan santan juga dimasukkan ke dalam skim kali ini.
Selain itu, kategori perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api Lain meningkat perlahan kepada 1.9 peratus, manakala inflasi pengangkutan kekal pada 0.7 peratus.
Penurunan harga RON97 (-4.0 peratus) dan kekalnya subsidi diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan membantu meredakan tekanan harga.
“Empat negeri mencatatkan kadar inflasi melebihi paras nasional dengan Johor (2.1 peratus), Selangor (1.8 peratus), Negeri Sembilan (1.7 peratus) dan Melaka (1.6 peratus).
“Putrajaya mencatatkan peningkatan tertinggi dalam inflasi makanan & minuman iaitu 3.6 peratus”, tambah beliau.
Di samping itu, dari segi perbandingan serantau, kadar inflasi Malaysia (1.4 peratus) lebih rendah berbanding Filipina (1.8 peratus) dan Vietnam (3.1 peratus), namun lebih tinggi berbanding Thailand (0.8 peratus) dan Indonesia (1.0 peratus).
Secara keseluruhan, inflasi suku pertama 2025 meningkat perlahan kepada 1.5 peratus (ST1 2024: 1.8 peratus), manakala inflasi bulanan pada Mac kekal mendatar.