KUALA LUMPUR – Kewibawaan Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dalam mentadbir serta kejayaan mengemudi kemenangan cemerlang di Terengganu adalah bukti keupayaan sebenar kepimpinan beliau.
Ketua Wanita Perikatan Nasional (PN) Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, kepimpinan Samsuri terbukti sebagai pemimpin yang berintegriti, berpengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan serta memiliki rekod kepimpinan yang cemerlang.
“Selaku Ketua Wanita Perikatan Nasional dan juga Pengerusi PN Negeri Melaka, mewakili seluruh kepimpinan merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Samsuri atas pelantikan beliau sebagai Pengerusi PN yang baharu.
“Pelantikan ini merupakan satu titik penting dalam pengukuhan kepimpinan PN di peringkat nasional, khususnya dalam menghadapi cabaran politik semasa dan persiapan khusus menuju ke pilihan raya Negeri Melaka dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) secara amnya.
“Saya yakin pengalaman tersebut akan menjadi kekuatan serta inspirasi penting dalam memperkukuh gerak kerja dan strategi PN, termasuk dalam menghadapi PRN Melaka tidak lama lagi,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Ahli Parlimen Masjid Tanah itu, PN Melaka berdiri teguh dan memberi komitmen penuh untuk bersama-sama memperkukuhkan jentera parti, memperluas sokongan rakyat serta memastikan agenda membela kebajikan rakyat, memperkasa ekonomi dan menegakkan tadbir urus yang bersih dan berintegriti terus menjadi keutamaan.
“Wanita Perikatan Nasional juga mengharapkan agar Pengerusi akan terus sama memperjuangkan agenda memartabat dan perkasakan wanita di dalam kamus perjuangan PN.
“Kami yakin di bawah kepimpinan Samsuri, Perikatan Nasional akan tampil lebih tersusun, bersatu dan diyakini rakyat sebagai alternatif terbaik untuk memimpin negara.
“Wanita Perikatan Nasional serta Perikatan Nasional Negeri Melaka juga turut ingin merakamkan ucapan setinggi penghargaan dan terima kasih di atas kepimpinan dan jasa Tan Sri Muhyiddin Yassin sewaktu mengemudi dan memimpin sebagai Pengerusi PN dan semoga dilimpahkan kesihatan yang baik buatnya.
“Seterusnya kami mendoakan semoga Allah SWT memberikan kekuatan, kebijaksanaan dan keberkatan kepada Samsuri sebagai Pengerusi PN dalam menggalas amanah besar ini demi agama, bangsa dan tanah air.
“Selamat berkhidmat dan menjalankan tugas! ucap Pengerusi PN Melaka itu.



