Penjenayah Letupkan Mesin ATM, Bawa Lari Wang RM349,000

- Advertisement -

SHAH ALAM – Tiga penjenayah dipercayai mengambil masa lima minit bagi meletupkan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebelum melarikan wang berjumlah RM349,000 di sebuah bank di Setia Alam di sini, hari ini.

Mereka yang dikatakan profesional itu meletupkan ATM tersebut menggunakan tekanan gas selain menyembur kamera litar tertutup (CCTV) premis dengan cat hitam sehingga menyebabkan rakaman kabur dan kurang jelas.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan daripada orang awam pukul 6.48 pagi.

Katanya, pemeriksaan mendapati dua mesin ATM bank itu mengalami kerosakan teruk akibat diletupkan penjenayah.

“Satu daripada mesin itu berjaya dibuka manakala sebuah lagi tidak berjaya dibuka.

“Nilai keseluruhan kerugian dianggarkan RM409,000 termasuk wang tunai berjumlah RM349,000 yang dilarikan suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata Mohd. Iqbal, siasatan pihaknya mendapati tiga lelaki bertopeng menaiki kereta Mitsubishi ASX berwarna putih dilihat memasuki bank itu.

Tambahnya, siasatan awal unit forensik mendapati letupan dipercayai dihasilkan dengan cara tekanan gas dan rakaman CCTV kabur kerana disembur cat oleh suspek.

“Kesemua suspek membawa lari bersama bekas menyimpan wang dalam ATM itu. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan tiada kesan kebakaran di lokasi kejadian,” ujarnya.

Jelas beliau, kes itu diklasifikasikan mengikut Seksyen 436/379 Kanun Keseksaan.

“Usaha sedang dilakukan dalam mengesan semua suspek dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Mohammad Khairi di talian 012-2666025 atau balai polis berdekatan,” katanya. – Kosmo

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat