KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengadakan lawatan rasmi sulung beliau ke Kemboja dan Thailand dari 23 hingga 26 Februari 2022.

Lawatan-lawatan tersebut adalah untuk memenuhi jemputan daripada TYT Samdech Techo Hun Sen, Perdana Menteri Kemboja, dan TYT Jeneral Prayut Chan-o-cha, Perdana Menteri Thailand.

Semasa lawatan rasmi ke Kemboja, Perdana Menteri dijadual mengadakan kunjungan menghadap ke atas Raja Kemboja, YM Raja Norodom Sihamoni dan juga pertemuan dengan TYT Perdana Menteri Hun Sen.

Dalam kenyataan pada Rabu, pertemuan dengan kerajaan Kemboja bertujuan membincangkan pengukuhan hubungan dua hala, kerjasama pasca pandemik COVID-19, kerjasama ASEAN, serta isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

Pada masa sama, Perdana Menteri juga akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Senat dan Presiden Dewan Rakyat Kemboja.

Seterusnya, Perdana Menteri akan turut bertemu dengan Keluarga Malaysia di Kemboja.

Sementara itu, semasa lawatan rasmi ke Thailand, Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri TYT Jeneral Prayut Chan-o-cha.

“Pertemuan tersebut akan memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin membincangkan hala tuju kerjasama pelbagai bidang antara Malaysia dan Thailand.

“Bidang-bidang utama meliputi kerjasama ekonomi, kerjasama pasca pandemik COVID-19, pembukaan sempadan antara kedua-dua negara, dan projek-projek kesalinghubungan di kawasan sempadan darat. Program YAB Perdana Menteri turut meliputi sesi dengan Dewan Perniagaan Malaysia – Thailand (MTCC) dan sesi ramah mesra bersama Keluarga Malaysia di Bangkok,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, lawatan-lawatan Perdana Menteri ke Kemboja dan Thailand mencerminkan hubungan rapat dan menyeluruh Malaysia dengan kedua-dua negara jiran and rakan ASEAN tersebut.

” Ianya juga dapat membuka peluang kepada Malaysia dan kedua-dua negara berkenaan untuk meneroka inisiatif bersama dalam usaha pemulihan pasca-pandemik, serta dalam menangani cabaran serantau dan antarabangsa.

Perdana Menteri akan diiringi oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias, Pengerusi RISDA, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif, serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Lawatan-lawatan ini akan berlangsung mengikut pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi pencegahan COVID-19 yang berkuatkuasa di Malaysia, Kemboja dan Thailand.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob