Mastura bayar RM830,034.75 selepas kalah saman fitnah kaitkan pemimpin DAP dengan Chin Peng

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Ahli Parlimen Kepala Batas Dr Siti Mastura Muhammad sudah menyelesaikan bayaran sebanyak RM830,034.75 merangkumi ganti rugi, kos guaman dan faedah kepada veteran dan pemimpin DAP, Tan Sri Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Teresa Kok.

Bayaran ini susulan kalah saman fitnah seperti diputuskan Mahkamah Tinggi, 4 Disember lalu

Pembayaran dilakukan melalui cek ke akaun firma guaman yang mewakili ketiga-tiga plaintif, Datuk Sankara Narayanan Nair, semalam.

Peguam mewakili Siti Mastura, Yusfarizal Yussoff, berkata meskipun pembayaran sudah dibuat, pihaknya memohon wang berkenaan disimpan dalam akaun peguam plaintif sehingga proses rayuan di Mahkamah Rayuan diselesaikan.

“Saya ingin memaklumkan satu persetujuan telah dicapai, dan saya percaya Datuk Nair (peguam pihak plaintif) boleh mengesahkan perkara ini.

“Defendan telah membuat pembayaran ke akaun firma guaman Datuk Nair dengan syarat wang berkenaan disimpan di dalam akaun tersebut sehingga rayuan di Mahkamah Rayuan selesai,” lapor BH di Georgetown.

Sankara mengesahkan cek pembayaran berkenaan diterima lewat malam tadi dan jumlah itu termasuk faedah, menjadikan keseluruhan RM830,034.75.

“Walaupun cek itu tertakluk kepada kelulusan (bank), kami yakin ia sah. Klien saya berpuas hati, dan kami menerima cek tersebut.

“Persetujuan ini akan direkodkan dan kami akan mengeluarkan surat aku janji yang diperlukan,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi menjadualkan prosiding hari ini untuk memutuskan permohonan Siti Mastura bagi menangguhkan pembayaran kepada ketiga-tiga plaintif.

Bagaimanapun, peguam defendan memberitahu pemberita, perkara itu sepatutnya disebut dalam kamar kerana terdapat perkembangan penting yang perlu dimaklumkan kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Datuk Quay Chew Soon.

Yusfarizal turut memaklumkan notis rayuan telah difailkan di Mahkamah Rayuan dan mahkamah telah menetapkan 13 Mac sebagai tarikh pendengaran kes tersebut, yang kini berada dalam peringkat pengurusan.

Mahkamah Tinggi pada 4 Disember lalu memutuskan kenyataan Siti Mastura yang mengaitkan veteran serta pemimpin DAP, Tan Sri Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Teresa Kok mempunyai pertalian dengan komunis dan pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng sebagai fitnah dan tidak disokong bukti.

Mahkamah turut mengarahkan Siti Mastura membayar ganti rugi RM300,000 kepada Kit Siang, Guan Eng (RM250,000) dan RM200,000 kepada Teresa, selain menetapkan RM25,000 dibayar kepada setiap plaintif sebagai kos.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat