KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa digesa membuat laporan rasmi segera kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pendedahan bekas Setiausaha Politiknya
Sivamalar Genapathy yang mendedahkan bahawa syarikat tembakau pernah menawarkan bayaran RM50 juta sebagai ganjaran kerajaan menggugurkan Dasar Generasi Penamat (GEG).
Bekas Naib Presiden MCA Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, jika dakwaan rasuah itu benar, namakan individu, perantara dan tarikhnya.
” Kerajaan Madani mesti melancarkan siasatan bebas serta-merta
“Campur tangan terhadap sebuah rang undang-undang kesihatan utama bukan lagi anekdot peribadi sebaliknya ia adalah cabaran rasuah nasional.
“Jelaskan keputusan Kabinet, jika benar beliau tidak boleh dirasuah, mengapa beliau digugurkan? soal Lian Ker.
Baru-baru ini, Sivamalar Genapathy, timbalan Setiausaha Agung PKR yang pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik Dr Zaliha ketika beliau memegang jawatan Menteri Kesihatan, mendedahkan bahawa syarikat tembakau pernah menawarkan bayaran RM50 juta sebagai ganjaran kerajaan menggugurkan Dasar Generasi Penamat (GEG), sebahagian daripada rang undang-undang anti-merokok yang satu masa dulu giat dipromosikan pendahulunya, Khairy Jamaluddin.
“Apabila berdepan dengan syarikat tembakau dan kepentingan korporat besar, beliau tidak berganjak,” tulis Sivamalar dalam catatan Facebook minggu lalu.
Susulan itu, Lian Ker berkata, pengakuan mengejutkan telah timbul apabila seorang pegawai kepada bekas Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, mendakwa bahawa individu-individu yang tidak dinamakan telah menawarkan RM50 juta untuk menggugurkan dasar Tobacco Generational End Game (GEG).
Namun katanya, skandal sebenar bukan dakwaan tersebut tetapi pengakuan bahawa tiada laporan dibuat kepada SPRM atau polis kerana mereka “tidak mahu membuang masa.”
“Alasan sebegini adalah satu penghinaan kepada kecerdikan awam dan satu tamparan terhadap kerangka anti-rasuah negara.
“Menolak rasuah itu terpuji, tetapi menguburkan jenayah bukan satu keberanian.
“Di bawah undang-undang Malaysia, cubaan merasuah apatah lagi untuk mempengaruhi dasar awam adalah isu kepentingan negara, keselamatan awam dan tanggungjawab jenayah.
“Kegagalan membuat laporan menunjukkan pengabaian terhadap kedaulatan undang-undang; tidak menghormati kehendak pembayar cukai dan penafian proses undang-undang yang sewajarnya.
“Kita sepatutnya memulakan satu contoh kod integriti pegawai awam, namun mesej berbahaya yang terhasil hari ini ialah pemberi rasuah boleh bebas jika tawaran mereka ditolak,” katanya.
Tegas Lian Ker, rasuah tidak dikalahkan dengan berdiam diri.
Jelas beliau, rasuah dikalahkan dengan melapor, mendedah dan mendakwa pemberi rasuah.
“Melabelkan penguatkuasaan undang-undang sebagai “membazir masa” bukan kepimpinan melalui teladan ia adalah pengabaian tanggungjawab dan satu sikap tidak bertanggungjawab kepada rakyat.
“Rakyat Malaysia berhak mengetahui kebenaran sebenar di sebalik dakwaan ini jawapan, bukan alasan,” ujarnya.
Hal demikian Lian Ker menuntut Kerajaan Madani untuk wajib memperjelaskan, jika menteri itu tidak boleh dirasuah, mengapa digugurkan?
“Jika naratif RM50 juta ini bertujuan menggambarkan Dr Zaliha sebagai ikon integriti yang unggul, maka Kerajaan Madani perlu menjawab persoalan asas iaitu mengapa seorang menteri yang tidak boleh dirasuah tidak dikekalkan, ditingkatkan, atau diraikan?
“Jika benar beliau: menolak campur tangan korporat, melindungi kesihatan awam dan bertahan daripada serangan RM50 juta oleh kepentingan tembakau; maka menurut logik dan aspirasi Madani.
“Beliau sepatutnya dipromosikan, bukan digugurkan.
“Malah dilindungi, bukan diganti dan ditampilkan sebagai model tadbir urus bersih.
“Sebaliknya, beliau digugurkan dalam rombakan Kabinet,” kata Lian Ker.
Justeru katanya, rakyat berhak mendapat kebenaran berkait RUU GEG telah dicairkan dan dakwaan rasuah tidak pernah dilaporkan.
“Menteri yang dikatakan “tidak boleh dirasuah” digugurkan. Ini bukan isu kecil.
“Ini soal integriti dasar kesihatan awam. Ini soal integriti tadbir urus Kabinet.
“Ini soal janji antirasuah Kerajaan Madani. Rakyat menuntut jawapan bukan retorik,” bidas Lian Ker.



