KUALA LUMPUR – Pengguna Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) akan menikmati tol percuma selama dua hari iaitu pada esok dan Selasa ini bersempena sambutan perayaan Krismas.
PLUS Malaysia Berhad (PLUS), berkata tol percuma itu adalah bagi semua kelas kenderaan bermula jam 12 tengah malam hingga 11.59 malam pada esok, manakala pada Selasa, bermula dan berakhir pada tempoh yang sama.
Katanya, pengguna lebuh raya dapat menikmati tol percuma itu di 92 plaza tol sepanjang lebuh raya kendalian PLUS dan juga di 10 plaza tol di LPT2.
“Bagaimanapun, pemberian tol percuma tidak ditawarkan di plaza tol lebuh raya di sempadan negara iaitu di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (Tambak Johor) dan Plaza Tol Tanjung Kupang (Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura – Linkedua),” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
PLUS turut menasihati orang ramai supaya mengikuti infografik yang disediakan ketika menikmati tol percuma pada dua hari itu.
Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, PLUS berkata, seramai 15 pemenang utama memenangi baucar beli-belah berjumlah RM1,000, manakala 100 pemenang lain menerima 8,800 Mata Ganjaran PLUSMiles sempena kempen Program Rintis MyTTA yang diperkenalkan pada perayaan Deepavali lalu.
Kempen MyTTA itu bertujuan untuk menggalakkan orang ramai supaya merancang dan mematuhi jadual perjalanan dengan menawarkan hadiah keseluruhan bernilai sehingga RM20,000.
“Seramai 115 orang pemenang ini ialah pengguna Lebuhraya PLUS yang dipilih berdasarkan kriteria antaranya, mendaftar dalam i kempen, membuat dan mematuhi perjalanan berdasarkan waktu perjalanan seperti yang disarankan oleh MyTTA di dalam Aplikasi PLUS.
“Mata Ganjaran PLUSMiles yang diterima oleh setiap pemenang boleh ditebus dengan pelbagai jenis baucar bernilai RM50 antaranya daripada AEON, TouchNGo eWallet, Giant, Lotus’s dan sebagainya,” katanya.
Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad, Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, My-TTA diperkenalkan sebagai inisiatif digital yang berteraskan penganalisaan data dan informasi trafik bagi memudahkan pengguna lebuh raya merangka pilihan waktu perjalanan mengikut perancangan dan keperluan pengguna sendiri.
“Platform ini terdapat di dalam Aplikasi PLUS bertujuan untuk meningkatkan keselesaan perjalanan pengguna secara keseluruhan.
“Berdasarkan maklum balas yang diterima daripada pengguna lebuh raya pada cuti perayaan Deepavali dan Krismas kali ini, pihak PLUS bercadang menambah baik My-TTA sebelum pelancaran secara menyeluruh pada musim perayaan Tahun Baharu Cina depan,” katanya. – BH