Empat Mayat ‘Bergulung Khemah’ Dijumpai Pada Kedalaman 7 Meter

- Advertisement -

BATANG KALI – Empat mayat tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, di sini, ditemukan pagi ini dalam keadaan bergulung dengan kanvas khemah. .

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah, susulan penemuan terkini membabitkan empat mayat itu di Sektor C (Riverside) pada kedalaman kira-kira tujuh meter.

Terdahulu, katanya anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menemui petanda awal ketika pengorekan dilakukan menggunakan jentera pengaut sebelum menemui mayat jam 11.04 pagi.

“Semasa proses mengeluarkan mayat, pasukan bomba menemui empat mangsa berbalut (bergulung dengan kanvas khemah) dalam satu khemah pada kedalaman tanah sedalam tujuh meter.

“Empat mayat itu terdiri dua kanak-kanak, masing-masing seorang lelaki dan perempuan serta seorang lelaki dewasa dan seorang wanita dewasa,” katanya pada sidang media di lokasi tragedi itu hari ini.

Mengenai keadaan mayat itu, Suffian berkata, semua mayat ditemui dalam keadaan sempurna dan berpakaian lengkap, namun tubuh mereka sudah mula mereput.

“Tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui di tempat kejadian, justeru pada masa ini kita belum dapat memastikan identiti serta umur mangsa sehinggalah proses pengecaman dan bedah siasat selesai.

“Semua mangsa diperiksa pasukan Pengecam Mangsa Becana (DVI) di lokasi sebelum dihantar ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk dibedah siasat dan proses pengecaman,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail, berkata pasukan SAR mengesan petanda awal jam 10.43 pagi selepas menemui kesan perkhemahan ketika kerja pengorekan menggunakan jentera pengaut dijalankan di Sektor C itu.

“Selepas itu, kita gunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) dan anggota SAR di lapangan untuk mengesan lokasi tepat mayat mangsa berada sebelum berjaya mengeluarkan semua empat mayat,” katanya.

Mengenai baki tiga lagi mangsa yang masih hilang, beliau berkata pihaknya sudah mengenal pasti lokasi pencarian iaitu Sektor A (Hill View) dan Sektor C (Riverside) dan pencarian akan ditumpukan di kedua-dua sektor itu.

Operasi SAR hari ini dimulakan jam 8 pagi membabitkan 128 anggota pelbagai agensi, selain 11 jentera pengaut serta tujuh unit K9 terdiri empat anjing milik bomba, dua milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan satu milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Dalam tragedi 2.42 pagi Jumaat lalu itu, runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter berlaku di tapak perkhemahan itu yang terletak di Gohtong Jaya, di sini.

Seramai 94 mangsa terbabit dalam insiden itu dengan 61 dilaporkan selamat, manakala 30 disahkan terkorban sehingga kini dan tiga masih hilang.

Daripada 30 mangsa yang meninggal dunia, 14 adalah wanita dewasa, enam lelaki dewasa dan 10 kanak-kanak, masing-masing empat perempuan dan enam lelaki. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat