Wanita Kahwin Pemain Hoki: Tunggu Penjelasan Pihak Berkuasa Agama – Dr Zulkifli

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Semua pihak diminta bersabar dan menunggu penjelasan daripada pihak berkuasa agama negeri di Johor, mengenai isu perkahwinan seorang wanita Malaysia Muslim dengan pemain hoki India kerana perkara itu kini dalam siasatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata beliau yakin sebarang bentuk kemelut boleh diselesai dengan hikmah dan bijaksana, kerana Islam menuntut umatnya mengesahkan sesuatu maklumat diperoleh sebelum sebarang pandangan dan tanggapan dibuat.

“Tangkap layar (screenshot), rakaman video atau hantaran (posting) di media sosial adalah maklumat sekunder dan tertier, yang ada kemungkinan sahih atau tidak. Dalam hal ini, wanita berkenaan serta ahli keluarganya jauh lebih mengetahui situasi sebenar apa yang berlaku, termasuk perkara terkait dengan status agamanya dan pasangannya,” kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

Justeru, beliau menasihati semua pihak mengelak melakukan sebarang tindakan yang boleh membawa kepada syubhah seperti sangkaan tidak baik kepada orang ramai dan tindakan mempolitikkan isu sensitiviti agama adalah perbuatan yang tidak matang dan tidak menguntungkan agama.

Zulkifli dalam kenyataan sama turut menjunjung titah nasihat Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar agar semua pihak tidak membuat apa-apa kesimpulan dan tindakan pramatang dalam berita yang disebarkan.

“Duli Yang Maha Mulia Sultan juga yakin Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan Jabatan Mufti Negeri Johor akan memberikan semua pertolongan yang diperlukan kepada wanita itu, bagi mengekalkan akidahnya dalam lingkungan syariat Islam.

“Ini menzahirkan keprihatinan Duli Yang Maha Mulia Sultan terhadap urusan agama rakyat jelata,” katanya.

Menurut Zulkifli, di Malaysia seseorang yang ingin masuk Islam hendaklah mengucap dua kalimah Syahadah dan mendaftarkannya di hadapan Pendaftar Mualaf atau mana-mana pegawai atau mana-mana orang yang menguruskan pengislaman seseorang saudara baharu.

“Rekod pengislaman adalah di bawah seliaan pihak berkuasa agama negeri berkenaan. Saya dimaklumkan, hal ini sedang dalam siasatan pihak berkuasa agama negeri di Johor.

“Dalam hal status agama seseorang, Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan mentakrifkan seseorang berbangsa Melayu itu beragama Islam. Oleh itu, tidak semudahnya bagi sesiapa untuk menghukum seseorang berbangsa Melayu itu murtad hanya berdasarkan khabar yang belum dipastikan kesahihannya,” kata beliau.

Beliau menjelaskan perkahwinan antara pasangan Muslim dengan bukan Muslim adalah tidak dibenarkan berdasarkan Seksyen 10, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Johor) 2003.

“Pasangan bukan Muslim hendaklah masuk Islam terlebih dahulu sebelum berkahwin. Bagi perkahwinan Muslim yang dibuat di luar negara, permohonan perkahwinan tersebut hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Ruju’ di Kedutaan, Suruhanjaya Tinggi atau Pejabat Konsul Malaysia di negara tersebut.

“Perkahwinan ini juga hendaklah didaftarkan selepas pasangan pulang ke Malaysia dan perkahwinan silang agama tidak dibenarkan, dalam perundangan Malaysia,” katanya.

Zulkifli dalam pada itu turut menasihatkan sebarang tindakan yang boleh membawa kepada syubhah seperti sangkaan yang tidak baik kepada orang ramai, sewajarnya dielakkan.

“Suka saya untuk menasihati diri saya dan semua umat Islam di Malaysia untuk lebih berhati-hati dalam menangani sebarang isu yang berlaku dengan berhemah. Seorang Muslim, perlu sedaya upaya memastikan Muslim yang lain kekal dalam agamanya, bukan berusaha mengeluarkannya dari agama Islam,” katanya.

Baru-baru ini, tular gambar dan kisah perkahwinan seorang wanita Malaysia beragama Islam dengan kapten pasukan hoki India yang dipercayai berlangsung di Mithapur dekat Jalandhar, Punjab yang membayangkan upacara dijalankan mengikut adat resam Punjabi.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat