2,062 Kes Baru Covid-19, Selangor Terus Catat Jangkitan Tertinggi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kes harian COVID-19 dalam negara terus menyaksikan empat angka iaitu sebanyak 2,062 kes, dengan Selangor menyumbangkan hampir separuh daripada jumlah kes, iaitu sebanyak 1,014 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, angka-angka terbaharu itu menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di negara ini sebanyak 97,389 kes, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 17,646 kes.

Kata beliau, satu kes kematian dicatatkan pada hari ini, menjadikan jumlah kematian akibat wabak itu adalah 439 kes (0.45 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

“Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat empat kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara, manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 2,058 kes,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19.

Dr Noor Hisham berkata dalam kalangan negeri-negeri, Selangor kekal dengan kes harian tertinggi (1,014 kes) dan daripada jumlah itu, 887 kes adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan, diikuti Kuala Lumpur (504 kes) dan Sabah (252 kes).

Sementara itu, beliau berkata jumlah sembuh adalah 911 kes menjadikan jumlah kumulatif sembuh sebanyak 79,304 dan sehingga kini terdapat 111 kes positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 51 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Memperincikan pecahan kes mengikut negeri, Dr Noor Hisham berkata selain Selangor, Kuala Lumpur dan Sabah yang mencatat kes tinggi, Johor mencatat 167 kes, Negeri Sembilan (57), Pulau Pinang (23), Perak (17), Melaka (sembilan), Pahang (enam), Kedah (lima), Kelantan (empat), manakala Labuan dan Putrajaya masing-masing dua kes.

Sebanyak 120 kes yang dilaporkan adalah berkaitan kluster di penjara dan depot tahanan imigresen membabitkan Kluster Tembok Gajah (88 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (24 kes), Kluster Penjara Sandakan (tiga kes), Kluster Penjara Seberang Perai (tiga kes) dan Kluster Tembok (dua kes).

Mengenai kes kematian hari ini, Dr Noor Hisham berkata ia melibatkan lelaki bukan warganegara berumur 69 tahun, yang mempunyai sejarah strok dan jenazah dibawa ke Hospital Labuan. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat