Oleh Zihan Zari
IPOH – Dalam dunia moden yang semakin kompleks dan dipenuhi pelbagai pandangan serta isu-isu semasa, adalah penting berbincang dengan berhemah tanpa menimbulkan perpecahan.
Perbezaan pandangan itu fitrah manusia, apa yang dilarang ialah permusuhan dan saling benci membenci, perlu diurus secara beradab terutamanya menerusi media sosial bagi mengelakkan perpecahan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Naim Mokhtar berkata demikian pada majlis perasmian Seminar Adabul Ikhtilaf Peringkat Negeri Perak 2024 di Dewan Jubli Perak, Politeknik Ungku Omar (PUO) dekat sini, pada Ahad.
Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee; Pengarah PUO, Dr. Shamsuri Abdullah, dan Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Perak, Ustaz Ramdani Abd Karim.
Mohd Na’im berkata, hanya dengan mempraktikkan adab dalam berbeza pendapat, masyarakat dapat mengelakkan perpecahan dan mengekalkan keharmonian dalam perbezaan, lantas mengukuhkan perpaduan ummah.
Menerusi kenyataan oleh Pertubuhan Du’at Al-Falah memaklumkan, seminar bertemakan, ‘Adab Perbezaan Pendapat dalam Islam’ dianjurkan bersama-sama rakan strategiknya, Unit Takmir Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan PUO.
Selain itu, JAKIM, YADIM, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Perak, Kesatuan Pelajar-Pelajar Islam Perak (KPIP) dan rakan tajaan Al-Mikayla Travel.
“Seminar ini memberikan kefahaman yang mendalam mengenali Adabul Ikhtilaf, iaitu adab dan etika dalam menangani perbezaan pendapat di kalangan umat Islam.
“Konsepnya amat relevan ketika masyarakat kini menghadapi pelbagai cabaran seperti isu politik, perbezaan pandangan agama, serta perbezaan fahaman sosial yang boleh mencetuskan ketegangan.
“Ianya menyentuh beberapa topik utama, antaranya konsep Adabul Ikhtilaf dalam Islam, cara menangani perbezaan pendapat menurut Al-Quran dan As-Sunnah, serta peranan media sosial dalam menangani perbezaan pandangan,”katanya.
“Para peserta juga mendapat manfaat daripada sesi soal jawab dan perbincangan forum yang mengupas bagaimana cara menangani perbezaan pendapat dalam platform awam dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan.
“Kepentingan adabul ikhtilaf semakin ketara dalam suasana semasa di mana wujud pelbagai konflik di media sosial dan dalam perbincangan awam,”katanya lagi.
Segmen forum pula, menampilkan panel yang mempunyai kepakaran dalam berpengalaman luas dalam bidang masing-masing bagi memberi kefahaman, menangani perbezaan pendapat menurut Al-Quran dan As-Sunnah.
Antaranya, Du’at Al-Falah Perak, Ustaz Mohd Syahid Zaini; Timbalan YDP ABIM Perak, Ustaz Muhamad Ukasyah Azhari; Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Hj. Zamri Zainal Abidin, dan Pengerusi Duat Al-Falah, Ustaz Ahmad Faiz Mohd Khalil.
“Seminar ini julung-julung kali diadakan dengan mengumpul para agamawan, para asatizah, para pelajar dan aktivis Islam yang terlibat secara langsung bersama masyarakat.
“Pihak penganjur berharap dengan ilmu yang disampaikan melalui program ini dapat menyuntik semangat perpaduan di kalangan masyarakat khususnya penyatuan ummah.
“Justeru, kehadiran mereka dapat menjadi jurubicara ummah yang akan menjadi pemangkin kepada kesatuan ummah yang sebenar,”tambahnya.
“Seminar ini diharap dapat menjadi permulaan kepada usaha penganjur untuk membawa budaya damai dalam masyarakat.
“Susulan itu, beberapa bengkel Adabul Ikhtilaf dengan kerjasama masjid dan wakil-wakil aktivis akan dilaksanakan di seluruh negeri ini bagi memberi kefahaman yang lebih mendalam kepada kumpulan sasar, ”tambah kenyataan itu lagi.
Lebih 500 peserta terdiri daripada wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, guru-guru takmir, guru-guru tauliah, wakil-wakil masjid di seluruh Perak, guru-guru KAFA, guru-guru di bawah unit Pendidikan dan Kurikulum JAIPk, wakil-wakil agensi di bawah JAIPk.
Warga PUO turut serta mengambil bahagian menyertai seminar ini. -SUARA.TV