Pelancong Antarabangsa Kini Boleh Ke Langkawi – PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pelancong antarabangsa yang ingin ke Pulau Langkawi dibenarkan berbuat demikian bermula 15 Nov ini menerusi Gelembung Pelancongan Antarabangsa bagi Projek Rintis Pulau Langkawi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 hari ini bersetuju dengan cadangan prosedur operasi standard (SOP) yang dibentang Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berhubung gelembung pelancongan itu yang perlu dipatuhi setiap pelancong.

Menerusi SOP gelembung tersebut, katanya, kumpulan sasaran adalah pelancong berkualiti selain individu yang telah lengkap vaksinasi COVID-19.

“Kanak-kanak di bawah umur 18 tahun wajib hadir bersama-sama ibu bapa/penjaga masing-masing yang telah divaksin lengkap manakala senarai negara yang dibenarkan tertakluk kepada Jabatan Imigresen Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Luar Negeri (KLN),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, perdana menteri berkata tiada syarat kuarantin akan dikenakan dan setiap pelancong perlu tinggal sekurang-kurangnya tiga hari, menjalani ujian Tindak Balas Berantai Polimerase Masa Nyata (PCR-RT) yang mana keputusan wajib dalam bentuk digital atau cetakan.

Ismail Sabri berkata bagi pelancong yang melancong melebihi lima hari mereka wajib melakukan ujian saringan pada hari kelima dengan semua kos ditanggung sendiri.

Menurut perdana menteri, setiap pelancong perlu memiliki perlindungan insurans minimum US$80,000 (RM320,000), wajib menggunakan khidmat pelancongan berlesen di bawah MOTAC dan mempunyai pasport serta visa Pengisytiharan Kesihatan Aku Janji dan Indemniti selain memuat naik dan mendaftar dengan aplikasi MySejahtera sebelum berlepas.

Ismail Sabri menjelaskan pelancong yang tiba melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) perlu menjalani ujian rapid molecular manakala bagi yang terus ke Langkawi mereka wajib menjalani RT-PCR COVID-19 pada hari kedua.

“Sekiranya positif, pelancong akan terus dibawa ke pusat pengasingan/kuarantin atau hospital swasta mengikut kategori,” katanya sambil menambah satu kumpulan lawatan adalah maksimum 20 orang dan perlu mempunyai seorang pemandu pelancong.

Bagi pelepasan pulang ke negara asal, pelancong perlu menjalani RT-PCR COVID-19 72 jam sebelum berlepas dan sekiranya melancong selama tiga hari, keputusan ujian pada hari kedua boleh digunakan.

Katanya projek rintis Gelembung Pelancongan Antarabangsa bagi Pulau Langkawi akan dijalankan selama tiga bulan bagi membolehkan KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) menilai keberkesanannya sebelum dilaksanakan di pulau-pulau peranginan serta kawasan pelancongan yang lain. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat