KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh menyelar kenyataan Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Seri Dr Jacob George yang menyatakan gesaan mengehadkan pembelian beras tempatan hanya kepada rakyat Malaysia sebagai tidak masuk akal.
Akmal yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri Melaka mendesak Presiden CASSA itu turun memantau sendiri situasi itu.
“Langkah tidak berperikemanusiaan katanya? Lagi tidak perikemanusiaan bila rakyat Malaysia hanya mampu tengok sahaja warga asing beli beras tempatan yang disubsidi oleh kerajaan.
“Bila beras dah cukup dan ada lebihan,bagi lah siapa nak beli,ini isu beras tempatan tak cukup ya Datuk.
“Mohon Datuk ni pergi turun ke bawah dan lihat sendiri,bukan hanya duduk kat rumah sambil makan beras import,” bidas Akmal.
Sebelum ini, Presiden CASSA itu berkata, gesaan beberapa pemimpin politik supaya pembelian beras tempatan dihadkan hanya kepada rakyat Malaysia dianggap tidak masuk akal kerana langkah sedemikian dikhuatiri boleh mencetuskan huru-hara.
Jacob George, berkata cadangan itu bukan sahaja tidak berperikemanusiaan kepada warga asing yang menetap di sini, malah tindakan jangka pendek yang hanya menyusahkan kerajaan.
“Pertama, perlu tahu kenapa negara berada dalam keadaan begini. Ini akibat daripada bertahun-tahun kita tak jaga sekuriti makanan, isu ini telah lama ditinggalkan.
“Kedua, kita beri tanggungjawab ini kepada kroni atau orang yang memegang monopoli tertentu.
“Jadi, apabila timbul masalah terutama sekatan tertentu dari negara pengeksport beras, terdedahlah dengan sendiri masalah yang kita sedang hadapi dan keluarlah cadangan tak masuk akal seperti sekat warga asing beli beras tempatan,” katanya.