KUALA LUMPUR – Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar kesal dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) yang didakwanya tidak menjalankan tugas dan peranan dengan baik.
Wan Junaidi berkata, semasa menjawat jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) beliau pernah memanggil JAKOA untuk mengadakan perbincangan bagi kesejahteraan golongan Orang Asli, namun mereka seolah-olah tidak berminat.
“Pihak yang menjadi pegawai kanan dalam JAKOA itu, bagus tidur di rumah sajalah. Tidak berfungsi.
“Saya mahu cadang tubuh undang-undang yang dapat memastikan tanah Orang Asli tetapi macam saya pula yang berminat, dia tidak berminat.
“Saya tahu kepayahan ini boleh diatasi dan diolah tetapi jabatan tersebut wujud nama sahaja tetapi tidak buat kerja,” katanya dalam Sidang Dewan Negara di sini, semalam, lapor Utusan.
Beliau berkata demikian selepas Senator Manolan Mohamad membangkitkan isu berkaitan tanah Orang Asli pada sidang Dewan Negara semalam.
Manolan mencadangkan kerajaan mewartakan tanah Orang Asli sebagai rizab yang sudah terbelenggu sekian lama
“Saya mencadangkan sekiranya program itu melibatkan pertanian, sudah semestinya tanah-tanah yang akan dimajukan itu diwartakan terlebih dahulu kerana kalau kita tengok sebelum ini, kebanyakan tanah Orang Asli tidak diwartakan sebagai rizab mahupun mempunyai hak milik Orang Asli.
“Maka itu, apabila tanah itu dibangunkan ataupun mereka tidak mempunyai hak ke atas tanah tersebut. Tanah tersebut akan diambil oleh agensi kerajaan atau pihak swasta maka mereka akan mendapat pampasan yang sangat rendah, bukan mengikut harga pasaran,” katanya.