KUALA LUMPUR- Perbicaraan kes Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor atas dua pertuduhan menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik yang sepatutnya bermula hari ini, ditangguhkan ke September depan.
Hakim, Datuk Aslam Zainuddin menetapkan tarikh itu selepas pihak pembelaan Sanusi, 50, menghantar representasi terbaharu kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada minggu lalu.
Peguam, Awang Armadajaya Awang Mahmud, berkata pihak pembelaaan percaya AGC memerlukan masa untuk mempertimbang representasi itu serta meneliti perkembangan baharu dalam kes berkenaan.
“Jika mahkamah bersetuju, saya mencadangkan penangguhan selama dua bulan, untuk pihak-pihak mendapatkan maklumat penuh dan mempertimbang representasi ini.
“Saya mohon ditetapkan tarikh untuk pengurusan kes dalam masa dua bulan,” katanya memetik BH di Shah Alam pada Isnin.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud mengesahkan menerima representasi berkenaan.
“Pendakwaan mengesahkan menerima representasi dalam kes ini. Bagaimanapun kami memerlukan sedikit masa untukmeneliti permohonan tertuduh,” katanya.
Pada Mei lalu, AGC mengesahkan menolak representasi dikemuka Muhammad Sanusi bagi membatalkan dua tuduhan menghasut dihadapi Ahli Dewan Undangan Negeri Jeneri itu.
Pada 18 Julai 2023, Muhammad Sanusi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan berkenaan dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 1 Februari lalu, untuk dibicarakan.
Muhammad Sanusi juga mengemuka representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk membatalkan dua pertuduhan dihadapinya, bagaimanapun representasi itu ditolak oleh AGC.
Mahkamah sebelum ini menetapkan 23, 29 dan 30 Julai, serta 5, 6, 9, 12, 13, dan 23 Ogos ini untuk perbicaraan.
Mengikut kedua-dua pertuduhan Muhammad Sanusi didakwa menyebut perkataan menghasut di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak dekat sini pada 11 malam, 11 Julai 2023.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.