SUKMA 2022: Acara Terjun Gagal Penuhi Syarat Penyertaan Minima 8 Kontinjen Negeri

- Advertisement -

PETALING JAYA – Timbalan Menteri Belia dan Sukan Ti Lian Ker menolak dakwaan ratu terjun negara, Pandelela Rinong, berhubung ketiadaan acara terjun wanita, pada Sukan Malaysia (Sukma) kerana “sebab politik”.

Beliau berkata, ketiadaan acara terjun wanita susulan tidak menepati syarat minimum peraturan teknikal penyertaan temasya sukan itu, yang dijadual bermula 16 hingga 24 Sept, di Lembah Klang.

Ti berkata, mana-mana acara dipertandingkan pada Sukma, ia perlu mendapat penyertaan daripada sekurang-kurangnya lapan kontinjen negeri.

Katanya, berdasarkan senarai panjang kontinjen pada 20 Mei lalu, lima acara terjun wanita dan lelaki telah digugurkan kerana tidak mempunyai penyertaan secukupnya.

“Bagaimanapun, mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma pada 9 Jun berpendapat bahawa, disebabkan Sukma 2022 adalah edisi khas, penyertaan minimum dikurangkan daripada lapan ke enam negeri, serta melanjutkan tarikh tutup pendaftaran sehingga 30 Jun.

“Namun, setelah tarikh tutup, beberapa acara masih tidak layak dipertandingkan kerana penyertaan kurang daripada enam kontinjen. Ia termasuk acara terjun 1m papan anjal wanita, 3m papan anjal wanita, 10m platform wanita, 3m papan anjal seirama wanita dan 10m platform seirama wanita,” katanya menurut Bernama.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai dakwaan Pandelela bahawa tiada acara terjun wanita pada Sukma kali ini kerana “sebab politik”.

Menurut Ti, hanya lima negeri – Perak, Wilayah Persekutuan, Pahang, Sarawak dan Sabah menghantar penyertaan bagi acara 1m papan anjal dan 3m papan anjal, manakala 10m platform disertai oleh Perak, Wilayah Persekutuan, Sarawak dan Sabah.

Acara 3m papan anjal seirama dan 10m platform seirama pula sekadar mendapat penyertaan daripada Wilayah Persekutuan dan Sarawak, katanya.

Ti berkata, bukan sahaja acara terjun wanita, malah beberapa acara melibatkan karate wanita, olahraga 10,000m jalan kaki wanita, angkat berat wanita, kanu dan tinju lelaki turut tidak dapat diadakan kerana tidak melepasi syarat penyertaan minimum.

“Namun, kita meneruskan semua acara terjun lelaki kerana memenuhi syarat (penyertaan minimum selepas syarat dilonggarkan). Bagaimanapun, keputusan (sukar menggugurkan acara terjun wanita) terpaksa dibuat,” katanya.

Pandelela menerusi Twitter semalam, meluahkan kekecewaannya kerana tiada acara terjun melibatkan wanita dianjurkan pada Sukma kali ini, hampir sebulan selepas Sarawak membuat rayuan untuk menyenaraikan semula acara berkenaan. – FMT

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat