Erdogan mahu anjur Sidang Kemuncak Istanbul sama seperti Sidang Kemuncak KL 2019

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menyatakan minatnya untuk menganjurkan Sidang Kemuncak Istanbul yang akan mengetengahkan isu berkaitan hal ehwal umat dan negara Islam seperti yang diadakan di Kuala Lumpur, pada 2019.

Perkara itu disampaikan Erdogan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr, Mahathir Mohamad dalam pertemuan antara kedua-duanya di Kompleks Presiden di Ankara, Turki, semalam.

Pertemuan itu berlangsung selama sejam dan perbincangan tertumpu kepada perkara yang dijalankan semasa Sidang Kemuncak KL pada 2019.

“Erdogan kemudian mencadangkan Sidang Kemuncak Istanbul diadakan sama ada pada September atau Oktober tahun ini yang dipersetujui Dr Mahathir,” kata kenyataan yang dikongsi dalam hantaran terbaharu di akaun Facebook Dr Mahathir pada Khamis.

Dalam perbincangan itu, Presiden Erdogan turut menyuarakan keinginan beliau agar Dr Mahathir serta pasukan Sidang Kemuncak KL bekerjasama dengan pihak Turki dalam cadangan penganjuran Sidang Kemuncak Istanbul.

Sidang Kemuncak KL pada 2019 diterajui Dr Mahathir selaku pengerusi.

Perbincangan dan pandangan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sepanjang persidangan selama empat hari itu disertai 450 perwakilan dari 56 negara Islam yang terdiri daripada pemimpin negara, pemikir, cendekiawan, ahli politik dan pemimpin masyarakat.

Dalam pertemuan itu juga, Dr Mahathir turut mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Erdogan atas kejayaannya mengekalkan jawatan presiden dalam pilihan raya Turki baru-baru ini.

Selain itu, Dr Mahathir turut merakamkan ucapan takziah kepada mangsa gempa bumi yang meranapkan beberapa wilayah di republik itu yang turut mengorbankan ribuan rakyat negara itu.

“Terdapat juga banyak perbincangan mengenai nasib umat Islam dan keperluan untuk membantu umat Islam dan negara mereka yang menghadapi kesukaran dan peperangan,” katanya.

Dr Mahathir juga mengakui, Turki boleh menjadi negara contoh kepada negara Islam lain berikutan perkembangan pesat dan kemajuan negara itu dalam pelbagai bidang.

Hadir sama dalam pertemuan itu ialah isteri Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan isteri Erdogan, Emine Erdogan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat