Selepas pemilihan esok semua akan kembali sokong Anwar, tiada perpecahan buruk- Fahmi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Tiada perpecahan buruk dijangka berlaku selepas berakhirnya pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang akan berlangsung esok.

Ketua Penerangan PKR Datuk Fahmi Fadzil, berkata beliau percaya ahli parti akhirnya akan bersatu kembali menyokong Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Perdana Menteri bagi melaksanakan agenda dan reformasi pada peringkat Persekutuan.

Katanya, beliau tidak melihat ‘kepanasan’ dan ‘ketajaman’ seperti berlaku pada Kongres Nasional PKR 2019 di Melaka, kongres paling buruk pernah dihadapi parti berkenaan.

“Saya lihat PKR, sebelum ini sudah melalui zaman perpecahan akibat pengkhianatan dan itu adalah antara zaman paling gelap serta kelam bagi parti, namun kita bertahan.

“Jadi saya tak jangka kali ini akan separah itu (Kongres Nasional PKR 2019). Ini kerana tak berlaku pengkhianatan seburuk dan sejahat seperti apa dilakukan, kita saksikan terutama sewaktu Langkah Sheraton.

“Saya percaya PKR akhirnya akan peroleh perpaduan selepas pemilihan ini,” katanya selepas Sesi Taklimat Media Sempena Kongres Nasional PKR 2025, di Johor pada Khamis.

Hadir sama, Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP),Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kasim.

Selasa lalu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dilapor membayangkan sebarang perbalahan dalaman berisiko membawa kepada kehancuran kepada parti itu dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Justeru, beliau menggesa semua ahli parti mengelak sebarang perbalahan, sebaliknya berusaha merapatkan barisan sebaik pemilihan parti berakhir.

Ditanya apa langkah diambil bagi menangani perpecahan dalaman terutama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), Fahmi yang juga Menteri Komunikasi dan Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, pimpinan PKR akan turun ke akar umbi bagi merapatkan saf serta mengeratkan hubungan.

“Selepas pemilihan ini, dalam tempoh sebulan dua, pimpinan akan turun ke cabang dan negeri untuk merapatkan saf serta mengeratkan semula silaturahim.

“Memang adat proses pemilihan, ramai mencabar dan bersaing bagi jawatan yang hanya sebanyak itu.

“Namun, parti sentiasa memikirkan cara untuk dikumpulkan dan dirangkulkan serta dibawa bersama seluruh kekuatan, akan disediakan ruang dan peluang mungkin jawatan serta fungsi tertentu supaya semua yang bertanding tetapi tidak berjaya masih boleh bersama pada peringkat pusat,” katanya lagi.

Fahmi berkata, beliau juga sudah menemui beberapa cabang di seluruh negara dan menyifatkan suasana dalaman parti ketika ini dalam keadaan amat baik.

“Suasana kali ini jauh lebih baik dan tidak berlaku insiden tidak diingini pada peringkat cabang ketika pemilihan bulan lalu.

“Malah apabila bercakap dengan akar umbi dan duduk bersama cabang, kumpulan berbeza boleh duduk semeja kerana mereka ingin lihat PKR bersatu padu, kukuh serta utuh, supaya dapat beri kekuatan kepada Presiden,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat