Deklarasi tak membatalkan tuntutan Sarawak terhadap Petronas, Abang Johari serah penilaian pasukan perundangan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Notis tuntutan kerajaan Sarawak terhadap Petroliam Nasional Berhad (Petronas) tidak terbatal secara automatik susulan deklarasi yang ditandatangani bersama Kerajaan Persekutuan semalam.

Sebaliknya Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata pihaknya menyerahkan kepada pasukan perundangan untuk menelitinya.

“Tidak, kami serahkan kepada pihak yang sah (pasukan perundangan kerajaan Sarawak dan Petronas) untuk meneliti, …kerana ada prosesnya.

“Jika hendak digantung, mungkin ada penggantungan dan kemudian ditarik balik, tetapi yang itu saya serahkan kepada pihak yang sah,” katanya pada sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di Kuching, lapor BH.

Beliau ditanya sama ada notis tuntutan yang dikemukakan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (KUTS) kepada PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PCSB) berhubung pemprosesan dan pengedaran gas, ditarik balik.

Ia berikutan deklarasi yang menandakan persefahaman PETRONAS dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) untuk mengusahakan kegiatan minyak dan gas secara bersama mengikut lunas peruntukan undang-undang Persekutuan dan negeri Sarawak ditandatangani semalam.

Pada 2 Mei lalu, Petronas mengesahkan anak syarikatnya, PCSB telah menerima notis daripada KUTS pada 30 April atas dakwaan melakukan pelanggaran atau ketidakpatuhan terhadap Seksyen 7(e) Ordinan Pengagihan Gas (DGO) 2016.

Pelanggaran itu membabitkan operasi loji milik PCSB di Miri Crude Oil Terminal (MCOT) di Lot 915-916, Lorong 1A-1A, Desa Senadin, Miri yang didakwa beroperasi secara haram atau tanpa permit.

Kerajaan negeri juga memberi tempoh selama 21 hari dari tarikh surat berkenaan yang bertarikh 30 April 2025, untuk PCSB mendapatkan lesen atau berdepan penalti kewangan.

Sementara itu, Abang Johari berkata, deklarasi yang dimeterai antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak semalam memberi panduan kepada Petronas untuk menjalankan operasi perniagaan di Sarawak dengan kerjasama Petros.

Katanya, Sarawak menerusi KUTS akan mengecualikan syarikat petroleum nasional itu daripada pengambilan lesen apabila mereka mengemukakan permohonan dan memaklumkan setiap operasi mereka di Sarawak.

Kerajaan Persekutuan dan Sarawak semalam memeterai deklarasi yang menandakan persefahaman Petronas dan Petros untuk mengusahakan kegiatan minyak dan gas secara bersama mengikut lunas peruntukan undang-undang Persekutuan dan negeri Sarawak.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata. melalui pemeteraian deklarasi itu, kedua-dua peruntukan berkenaan akan dihormati dengan dua entiti dalam industri minyak terbabit akan bergerak bersama demi kepentingan bersama.

Memperincikan mengenai deklarasi itu, Anwar berkata, peranan Petronas tidak tergugat, sebaliknya syarikat minyak dan gas negara itu meneruskan peranannya melalui kerjasama dengan Petros.

“Persefahaman yang kita lakukan ini adalah bagi memastikan pergerakan Petronas diteruskan dan peranan Petros di Sarawak diiktiraf dan kedua-duanya bekerja berganding bahu mengangkat martabat negara melalui industri minyak dan gas di peringkat hiliran, huluan dan beberapa kegiatan alternative energy (tenaga alternatif) yang dibicarakan.

“Sebagaimana turut dicatatkan (dalam deklarasi bersama) hasrat kita bersama adalah menjadikan Sarawak sebagai hab permulaan (industri minyak dan gas) bagi ASEAN.

“Bagi saya, pendekatan itu sangat realistik. Ia akan memberikan kemenangan kepada negara dan keberhasilan serta mengangkat kedudukan ekonomi Sarawak,” katanya.

Tambahnya, dari segi prinsip, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak mempunyai kefahaman yang jelas mengenai kedua-dua akta yang berkait dengan aktiviti minyak dan gas di Sarawak iaitu Ordinan Pengagihan Gas 2016 (DGO) dan di peringkat Persekutuan melalui Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA).

“Perkara ini sebenarnya dari segi prinsip sudah lama disepakati seperti mana saya dan Premier pernah berunding, sudah ada parameter yang jelas iaitu menerima PDA 1974 dan DGO 2016.

“Maknanya, keadaan terkini menuntut kita menerima kenyataan bahawa Sarawak berkembang lebih matang dan lebih punyai keupayaan, termasuk mendirikan syarikat minyak negeri yang punyai potensi besar,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat