BENTONG: Naib Presiden UMNO, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail menyeru ahli-ahli UMNO meletakkan kepentingan parti sebagai teras utama.
Jelasnya, ini kerana “kita orang parti.”
Katanya lagi, berdasarkan pengalaman pilihan raya umum sebelum-sebelum ini jika tidak dapat menjadi calon akan ada yang merajuk, melompat parti dan akhirnya mendatangkan kerugian besar kepada parti.
“Saya menyeru kita letak dalam diri kita sendiri, tanamkan dalam pemikiran kita orang UMNO dan apa tawaran sekalipun, UMNO diugut seperti yang berlaku kepada Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi). Presiden kita ‘orang parti’. Sebab jika tidak ‘orang parti’ ketika Tun Mahathir Mohamad minta beliau bubarkan UMNO pastinya akan bubar, tetapi ia tidak berlaku dan akhirnya semua tahu apa telah terjadi kepada beliau.
“(Berbeza pula) ada ‘kawan’ kita yang lain itu… mereka bukan ‘orang parti’. Kalau mereka ‘orang parti’ pastinya mereka bersama dengan kita sama ada dalam keadaan susah atau senang,” katanya dalam program Pemukiman Penerangan UMNO di ILMU, Janda Baik, lapor UMNO Online pada Ahad.
Beliau yang juga Menteri Besar Pahang mengesa segala masalah dalaman yang berlaku di dalam parti hendaklah diminimakan sebaik mungkin.
“Saya percaya dengan usaha yang kita buat… kita bergerak sebagai satu pasukan, insya-Allah dengan kepimpinan baharu yang ada pada hari ini, UMNO akan bergerak sebagai satu pasukan dan satu keluarga.
“Kita ambil iktibar apa yang berlaku kepada beberapa syarikat korporat yang besar akhirnya bankrap disebabkan masalah dalaman,” pesannya lagi.
Dalam ucapan beliau juga, Wan Rosdy berkongsi pengalaman ketika mula-mula menjawat jawatan Menteri Besar, perkara pertama yang ditekankan dalam mengurus negeri adalah meminimakan masalah dalaman dan bekerja sebagi satu pasukan.
“Sebab itu masa mula-mula saya menjadi Menteri Besar, ucapan sulung ialah kita kena minimakan masalah dalaman. Yang kedua bekerja sebagai satu pasukan dan satu keluarga.
“Jika tidak… mana mungkin hutang kerajaan negeri Pahang RM3.2 bilion diminimakan sehingga RM952 juta. Kita ada fokus. Hasil kerajaan negeri tidak pernah berlaku melebihi RM700 juta, tahun lepas Alhamdulillah berjaya mendapat RM1.2 bilion hasil,” katanya.