Noh ajak sebar video kekejaman, bukan maki hamun

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sokongan terhadap penduduk Palestin semakin memuncak apabila jutaan masyarakat dunia menunjukkan penyatuan solidariti dalam beberapa demonstrasi #FreePalestine atau Bebaskan Palestin di seluruh dunia. Malaysia juga tidak terkecuali mengutuk keganasan dan serangan berdarah yang berlaku.

Malah, rasa tidak puas hati terhadap kekejaman dan ketidakadilan yang berlaku di Wilayah Gaza sejak lebih seminggu lalu dizahirkan warga maya dalam bentuk kecaman menerusi media sosial hingga muncul kempen #Israelkoyak yang kini tersohor di laman Twitter.

Situasi itu nyata memberi kelegaan terhadap penyanyi, Noh Salleh yang sudah hampir dua dekad mengikuti perkembangan yang berlaku terhadap konflik Palestin-Israel ini.

Noh berkata, dia bersyukur melihat keprihatinan rakyat Malaysia khususnya yang kini semakin membuka mata terhadap isu yang tidak pernah berpenghujung itu.

“Sebagai seseorang yang sudah lama mengikuti konflik Palestin-Israel sejak 2005 lagi, saya dapat lihat perhatian dan kesedaran rakyat Malaysia terhadap isu antarabangsa sangat luar biasa.

“Saya puji sikap warga maya yang sanggup menyerang halaman berkaitan dengan Zionis Israel sebagai tanda solidariti terhadap penderitaan yang dialami rakyat Palestin.

“Namun, saya agak terkilan apabila serangan dilakukan lebih kepada cercaan dan maki hamun. Cara ini tidak sesuai kerana nampak murahan,” katanya kepada BH Online.

Noh atau nama sebenarnya, Mohamad Noh Salleh berkata, netizen yang ingin meluahkan rasa tidak puas hati amat dialu-alukan, namun biarlah pendekatan yang diambil dengan cara yang lebih bijak.

“Apabila menyerang tanpa ada pengetahuan, itu yang nampak murahan. Jadi, saranan saya sebelum mengecam, biarlah dibuat dengan sokongan fakta seperti memuat naik kembali video kekejaman yang dilakukan.

“Israel ini, apa sahaja yang dilaksanakan, dibuat dengan penuh terancang dan teliti. Setiap bom yang dijatuhkan di sesebuah lokasi, ada sebab dan tujuannya. Jadi, kita tidak boleh melawan mereka dengan cara maki hamun.

“Dalam situasi sekarang, memadai untuk kita menyebarkan kesedaran kepada masyarakat apa sebenarnya yang berlaku di Palestin. Kita sebarkan juga kata pagar yang sesuai supaya masyarakat dunia memperoleh maklumat tepat dan sahih,” tegas vokalis kumpulan Hujan ini.

 

Noh bersama isterinya, Mizz Nina di hadapan Masjid Al-Aqsa. - Foto Noh Salleh
Noh bersama isterinya, Mizz Nina di hadapan Masjid Al-Aqsa. – Foto Noh Salleh

 

Dalam pada teruja melihat penyatuan rakyat Malaysia dalam memberi sokongan terhadap rakyat Palestin, Noh turut meluahkan rasa kecewa apabila ada segelintir pihak bersikap pro Israel termasuk golongan atas pagar.

“Jujurnya, saya sedih apabila ada pihak yang secara terangan menyokong Israel. Begitu juga golongan atas pagar. Walaupun sudah jelas di depan mata kekejaman yang berlaku, namun mereka masih lagi mempersoalkan situasi berkenaan.

“Malah, ada yang mengaitkannya dengan pepatah mengapa kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan. Pelik rasanya bila mereka masih boleh menutup mata, walaupun sudah tahu kezaliman yang sedang berlaku.

“Selalunya apabila berdepan dengan situasi ini, saya hanya melemparkan senyuman sahaja. Doa saya semoga hati mereka terbuka suatu hari nanti,” luah penyanyi lagu Angin Kencang ini.

Sementara itu, Noh turut memaklumkan pertubuhan amal MyAqsa Defenders (MAD) yang menggabungkan anak muda dari pelbagai pertubuhan bukan kerajaan membabitkan barisan selebriti serta ikon kemanusiaan berjaya mengutip dana sebanyak RM17.8 juta sejak kutipan dibuat pada hari pertama serangan Israel dilakukan.

Mengulas lanjut usaha yang dijalankan, Noh berkongsi rasa teruja kerana kutipan yang dibuat melebihi sasaran yang dibuat pertubuhan berkenaan.

“Pada awalnya, kami mensasarkan kutipan sebanyak RM10 juta sahaja, namun apa yang berlaku adalah di luar jangkaan apabila dana yang terkumpul pada 18 Mei lalu mencecah RM17.8 juta.

“Ini menunjukkan keprihatinan rakyat Malaysia kepada perjuangan pembebasan isu Palestin dan kepercayaan kepada gabungan ini untuk menguruskan amanah dengan telus dan penuh integriti,” ungkapnya.

Terdahulu, Noh menangis ketika membuat rakaman Instagram Live bersama pengasas pertubuhan Cinta Gaza, Muhammad Nadir Al Nuri Kamaruzzaman sebaik sahaja terdengar bunyi bom di persekitaran lokasi kediaman Nadir seperti yang ditularkan pada 1 Syawal lalu.

Noh turut menerima banyak maklum balas positif mengenai perkongsiannya terhadap isu antarabangsa dalam media sosial termasuk dari dalam kalangan bukan Islam.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat