KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail masih belum membuat keputusan sama ada akan mencabar Datuk Seri Rafizi Ramli bagi jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti akan datang.
Menurut bekas Setiausaha Agung PKR itu, beliau baru-baru ini mengadakan pertemuan tertutup dengan Rafizi di pejabat Timbalan Presiden tersebut bagi membincangkan peranan masing-masing dalam memperkukuhkan parti.
“Saya sedar terdapat pandangan daripada beberapa pihak yang menyatakan sudah sampai masanya untuk saya membuat pengumuman berhubung perkara ini.
“Namun saya belum membuat sebarang ketetapan sama ada untuk bertanding atau tidak,” katanya lapor Sinar Harian di Putrajaya pada Selasa.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan bersama warga Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Bekas Setiausaha Agung PKR itu, menegaskan kesetiaannya kepada parti tidak wajar dipersoalkan memandangkan beliau pernah memegang jawatan penting selama 14 tahun dan terlibat sejak penubuhan parti.
“Saya bersama rakan pengasas lain membina PKR dari awal tanpa sokongan atau pengaruh. Parti ini sebahagian daripada hidup saya,” ujarnya.
Sebelum ini, penganalisis politik, Azmi Hassan berkata, keputusan di 222 cabang PKR yang menyaksikan ramai penyokong Rafizi tewas memberi petunjuk kepada Saifuddin untuk mencabar Rafizi dalam pemilihan.
Mengulas lanjut, Saifuddin menjelaskan beliau dan Rafizi saling berterus terang dalam pertemuan mereka dan komited untuk terus bekerjasama memperkukuh kepimpinan parti.
“Pemilihan adalah proses demokrasi yang tidak boleh mati dalam parti reformasi seperti PKR,” katanya.
Beliau juga menolak label ‘orang Saifuddin’ atau ‘orang Rafizi’, menyatakan bahawa semua adalah ‘orang parti’, seperti ditegaskan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengenai dakwaan ‘tangan ghaib’ dalam pemilihan parti, Saifuddin menasihatkan agar ketidakpuasan hati disalurkan melalui saluran rasmi.
“Majlis Pimpinan Pusat (MPP) akan bermesyuarat esok dan itu platform terbaik untuk menyuarakan pandangan,” katanya.
Berhubung kekalahan beberapa tokoh besar dalam pemilihan cabang, beliau menegaskan mereka tidak akan dipinggirkan.
“Selagi berkhidmat dan setia, tetap ada tempat. Dalam parti, saya lebih banyak kalah daripada menang, tapi saya masih di sini,” ujar Saifuddin.