Pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 tak mendesak, tak usah tergesa-gesa – ahli ekonomi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak perlu tergesa-gesa melaksanakan rasionalisasi subsidi RON95 dalam masa terdekat, meskipun harga minyak mentah Brent menunjukkan trend penurunan kebelakangan ini.

Ketua Ahli Ekonomi OCBC Selena Ling berkata keperluan untuk melaksanakan penyasaran subsidi RON95 tidak begitu mendesak, sebaliknya kerajaan wajar mengalih kepada keutamaan yang lebih besar dari sudut dasar fiskal seperti langkah balas kitaran untuk menyokong pertumbuhan negara dalam tempoh sementara ini.

“Bagi saya, Malaysia berada dalam kedudukan yang agak bertuah. Saya tidak merasakan keperluan mendesak terhadap subsidi RON95 dan walaupun kerajaan tetap ingin melaksanakannya, perolehannya sebenarnya jauh lebih rendah.

“Maksud saya, kos subsidi sekarang sebenarnya jauh lebih rendah berbanding apa yang mereka (kerajaan) jangkakan dalam belanjawan, iaitu sekitar AS$75 setong,” katanya pada taklimat Tinjauan Ekonomi 2025 OCBC lapor BH pada Selasa.

Harga minyak mentah Brent pada masa ini diniagakan di bawah AS$70 setong berikutan ketidaktentuan ekonomi daripada tarif dan dasar monetari Amerika Syarikat (AS) boleh menjejaskan permintaan terhadap bahan api.

Pandangan Ling berbeza dengan pendapat sesetengah penganalis yang melihat harga minyak mentah Brent yang rendah di bawah AS$70 setong pada masa ini memberi ruang kepada kerajaan untuk meneruskan rancangan pelaksanaan subsidi bersasar RON95 meskipun persekitaran global mencabar.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berpendapat sebaiknya pelaksanaan subsidi bersasar RON95 tidak wajar ditangguhkan kerana kerajaan perlu berbelanja kepada perkara mendatangkan produktiviti tinggi seperti pendidikan, kesihatan dan infrastruktur.

Beliau berkata, jika pelaksanaannya ditangguhkan boleh menjejaskan kredibiliti kerajaan dalam melaksanakan reformasi ekonomi.

Di samping itu, katanya, harga minyak mentah Brent berada di paras agak rendah dan ini membuka peluang bagi kerajaan melaksanakan rasionalisasi subsidi bahan api kerana perbezaan di antara harga subsidi dan harga pasaran adalah kecil.

Sementara itu, dalam taklimat sama, Ling berkata, OCBC menurunkan unjuran harga minyak Brent bagi tahun ini kepada AS$67 setong berbanding ramalan sebelum ini iaitu AS$77 setong.

“Penurunan ini didorong oleh permintaan global yang lemah dan bekalan minyak yang lebih tinggi daripada jangkaan, khususnya daripada pengeluar minyak OPEC+ (Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutu),” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata, harga komoditi global dijangka terus terkesan akibat ketegangan sektor perdagangan.

Bagaimanapun, OCBC menjangkakan harga minyak sawit mentah (MSM) akan kekal stabil sekitar RM4,300 satu tan pada 2025, berbanding RM4,218 satu tan tahun lalu.

“Keadaan ini mencerminkan bekalan yang stabil walaupun permintaan kekal tidak menentu serta perubahan dasar domestik seperti program biodiesel B40 di Indonesia,” katanya.

Mengulas prestasi ekonomi pula, Ling berkata, Malaysia memasuki fasa ketidaktentuan global dengan kedudukan asas yang mantap, selepas mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.1 peratus pada tahun lalu.

“Data terkini juga menunjukkan prestasi ekonomi yang masih kukuh walaupun dengan sedikit pertumbuhan yang sederhana pada suku pertama 2025,” katanya.

Keputusan AS mengenakan tarif ke atas negara-negara yang mempunyai defisit perdagangan dengan negara itu turut memberi kesan kepada Malaysia, yang mencatatkan defisit dagangan kumulatif sebanyak AS$24.8 bilion pada 2024.

Susulan itu, Washington mengenakan tarif balas sebanyak 24 peratus terhadap produk import dari Malaysia, berkuat kuasa 5 April lalu, namun pelaksanaannya ditangguh selama 90 hari bermula 9 April lalu.

“Walaupun dikenakan tarif, kadar berkenaan masih rendah berbanding negara jiran seperti Vietnam (46 peratus), Thailand (37 peratus), Kemboja (49 peratus) dan Laos (48 peratus), menjadikan Malaysia masih kompetitif untuk syarikat yang mengeksport ke pasaran AS,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat