JOHOR BAHRU – Sebanyak 100,000 peluang pekerjaan baharu dijangka wujud dalam beberapa tahun akan datang di Johor, susulan pelbagai inisiatif galakan ekonomi negeri ini.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, antara inisiatif yang menyumbang secara langsung adalah program Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
“Apa lebih utama, pekerjaan diwujudkan itu nanti adalah pekerjaan berkualiti dan berkemahiran tinggi yang akan membawa pulangan besar serta perkembangan kerjaya positif buat mereka yang terlibat.
“Generasi belia, murid dan pelajar sekolah ketika ini adalah masa depan negeri Johor.
“Sehubungan itu, saya berharap generasi muda negeri ini belajar ilmu dan kemahiran diperlukan untuk menerima manfaat secara langsung daripada pelbagai usaha dilaksanakan kerajaan, ketika ini,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Pemimpin Pelajar Antarabangsa Johor (JISLC) 2024 di Hotel KSL Resort, di sini hari ini
Menurut Onn Hafiz, masyarakat di negeri ini tanpa mengira latar belakang dimohon untuk sama-sama menyokong usaha kerajaan, dalam menjadikan Johor sebuah negeri maju menjelang 2030.
“Dalam tempoh dua tahun lalu, sebanyak 55 strategi dan 209 inisiatif dilaksanakan bagi mencapai matlamat itu.
‘Hasilnya, Johor merekodkan jumlah pelaburan RM113.7 bilion dan mewujudkan 35,000 peluang pekerjaan,” katanya. – BH