Mahdzir Terima Keputusan, Ikrar Terus Bantu Kepimpinan UMNO

- Advertisement -

CYBERJAYA – Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang gagal mempertahankan jawatan Naib Presiden pada Pemilihan UMNO bagi penggal 2023-2026 kelmarin, berlapang dada menerima keputusan perwakilan UMNO Bahagian seluruh negara yang memilih dua muka baharu bagi jawatan tersebut.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Terap berikrar untuk terus menabur khidmat bakti kepada UMNO, turut berterima kasih kepada semua perwakilan UMNO Bahagian yang telah mengundinya.

“Saya secara peribadi menerima dengan hati terbuka dan berlapang dada apabila perwakilan berhasrat untuk memilih kepimpinan baharu di barisan Naib Presiden bagi membantu Presiden dan Timbalan Presiden khususnya dan UMNO secara amnya.

Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada perwakilan UMNO yang telah mengundi saya pada kali ini”, katanya, menerusi satu kenyataan kepada media hari ini.

Tambah Mahdzir, beliau juga menghormati setiap keputusan yang telah dibuat oleh perwakilan dalam proses pemilihan kali ini.

Beliau turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada saf kepimpinan baharu Naib Presiden, Ahli-ahli MKT, Ketua Wanita, Ketua Pemuda, Ketua Puteri, Ketua-ketua Bahagian dan Cawangan yang dipilih bagi penggal ini.

“Saya juga menyeru kepada semua saf kepimpinan baharu UMNO termasuk di peringkat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) serta seluruh ahli UMNO kekal bersatu padu di dalam parti keramat ini.

“Saya akan meneruskan khidmat bakti saya kepada parti, ahli-ahli UMNO dan juga rakyat sebagai Ketua UMNO Bahagian Padang Terap dan juga membantu saf kepimpinan di peringkat UMNO Pusat.”

Mahdzir turut yakin UMNO akan kembali bangkit dan mampu menawan semula hati rakyat sejajar dengan proses pemilihan kepimpinan parti yang baru diselesaikan secara penuh demokrasi.

Untuk rekod, sebelum ini Mahdzir menduduki kerusi Naib Presiden UMNO bagi penggal lalu selepas menerima undi daripada 125 Bahagian UMNO pada pemilihan tahun 2018.

Pada Pemilihan UMNO penggal 2023-2026 yang berlangsung serentak di peringkat Bahagian UMNO di seluruh negara kelmarin, Mahdzir memperolehi 42 undi daripada keseluruhan 191 Bahagian UMNO.

Tiga kerusi Naib Presiden UMNO yang dipertandingkan dimenangi oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Seorang lagi adalah penyandang jawatan itu yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat