KUALA LUMPUR: Pengalaman lima dekad dalam dunia muzik menjadikan penyanyi jolokan Papa Rock, Datuk Ramli Sarip antara insan paling layak berkongsi nasihat yang boleh dijadikan panduan generasi muda.
Memulakan kerjaya nyanyian dengan menganggotai kumpulan rock ikonik, Sweet Charity sebelum meneruskan kerjaya solo hingga hari ini, Ramli mengakui, perjalanan kerjaya seni juga seperti insan lain, ada pasang dan surutnya.
Malah, kata Ramli, perbalahan sesama anggota juga menjadi perkara yang tidak dapat dielak kerana fitrah manusia tiada manusia sempurna.
Namun, Ramli berkata, untuk tidak menjadikan perbalahan lebih buruk hingga boleh memutuskan silaturahim, mereka cuba mengelak membuka pekung di dada.
“Semua orang muzik akan melalui zaman hitam, ada turun naiknya. Begitu juga Sweet Charity pernah melalui situasi perselisihan faham membabitkan ahli, tetapi kami cuba tangani dengan diplomasi.
“Jika boleh biarlah kita selesaikan perkara ini secara senyap-senyap sesama ahli seperti satu keluarga. Tidak perlu kita mendedahkan pada orang luar mahupun memperbesarkan isu.
“Namun, saya percaya setiap perkara yang berlaku akan lebih mendewasakan kita,” luah Ramli kepada BH Online.
Mengimbau kembali perjalanan yang pernah dilalui, Ramli percaya, kemasyhuran antara punca menyebabkan ramai penggiat seni tersasar daripada matlamat asal.
“Dahulu, saya memang tidak kisah soal bayaran. Bayar ratus-ratus pun saya terima. Masa mula nyanyi secara solo, saya tidur di mana-mana sahaja, itu pun saya tak kisah.
“Malah, saya pernah makan mi segera dalam studio. Namun, inilah perbezaan dengan kebanyakan artis, hari ini. Mereka dapat bayaran lumayan.

“Namun, bagi saya, lebih baik jika semua disertai dengan perjuangan, ketulusan, keikhlasan dan tanggungjawab,” ujar penyanyi yang berasal dari Kota Singa ini.
Selepas lebih dua tahun terkandas di Singapura akibat pandemik COVID-19, penyanyi yang popular dengan lagu Kamelia dan Perjalanan Hidup itu meluahkan rasa teruja dapat kembali ke Malaysia yang sudah seperti rumah keduanya.
Bercerita lanjut, seniman berusia 70 tahun ini mendedahkan pernah disebabkan terlalu rindu, dia sanggup berjalan-jalan di lokasi berhampiran sempadan Singapura-Malaysia semata-mata mahu melihat negara yang menjadi tempatnya mencari rezeki sejak berdekad-dekad lalu.
Kongsi Ramli, ini berlaku ketika pintu sempadan antara dua negara ditutup ketika peringkat awal pandemik COVID-19 melanda dua tahun lalu.
“Saya pernah beberapa kali ajak teman berjalan-jalan di pangkalan tentera laut. Kami sekadar duduk di tepi pantai sambil memandang seberang laut.
“Walaupun telefon boleh menjadi alat penghubung saya dengan keluarga di Malaysia, tetapi jiwa lain sangat. Macam orang sedang bercinta, dekat tetapi rasa jauh.
“Apabila kembali berpeluang memasuki Malaysia, saya seakan tidak percaya. Saya bersyukur kerana akhirnya dapat bertemu keluarga, rakan-rakan dan mengadakan persembahan untuk peminat yang sekian lama menantikan kehadiran saya,” tutur Ramli.
Dalam pertemuan itu, penyanyi bervokal serak basah itu sempat berkongsi mengenai pembikinan album terbaharu berjudul Rasa yang memulakan proses rakaman, sejak dua tahun lalu.
“Album ini dibikin dalam dua negara. Sebelum pandemik melanda, saya sempat merakamkan tiga lagu.
“Selepas itu, saya pulang ke Singapura dan terus berada di sana selepas sempadan negara ditutup.
“Proses menyiapkan album ini diteruskan dengan bantuan rakan pemuzik. Saya boleh sifatkan proses pembikinan album Rasa ini sangat menyentuh jiwa dan emosi.
“Banyak kali juga saya menangis kerana teringatkan keluarga dan kawan-kawan yang sudah tiada,” luah Ramli.
Menyifatkan album Rasa antara karya agungnya, Ramli memaklumkan, dia bakal mengadakan persembahan istimewa sebagai salah satu cara untuk mempromosikan album itu.
“Sebelum ini, saya hanya menjual album ini setiap kali mengadakan persembahan. Memandangkan saya sudah berada di Malaysia, saya akan menggunakan apa sahaja cara untuk mempromosikannya termasuk mengadakan persembahan.
“Boleh dikatakan, album Rasa antara karya terbaik saya selepas album Sejuta Wajah bersama Sweet Charity dan album solo, Bukan Kerana Nama dan Syair Timur,” ujar Ramli.
Berita Harian