Bagai mimpi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Memori indah terlakar masih cuba dicerna perlahan-lahan penyanyi Kaka Azraf, 32. Kemenangan lagu Gila yang diangkat sebagai Juara Lagu, Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-35, Ahad lalu terasa bagaikan mimpi.

Bukan menidakkan kekuatan lagu ciptaan Ezra Kong, lirik Noki dan Loca B, tetapi hingga saat ini, Kaka masih tidak percaya beroleh kemenangan julung kali bersama rakan duet, Noki dan Loca B.

Jauh di sudut hati, Kaka tidak pernah meletakkan harapan tinggi, apatah lagi, bersaing dengan nama besar dan karya hebat yang dijangka menang besar.

Sambil merenung jauh, Kaka mengakui: “Ia bagaikan mimpi di siang hari, segala-galanya indah di mata. Hingga saat ini, saya, Noki dan Loca B masih memperkatakan momen kemenangan ini.

“Sukar dipercayai lagu Gila dijulang pemenang AJL35. Bukan tidak yakin dengan kemampuan lagu dibawakan, tetapi saya melihat Aina Abdul, Ernie Zakri dan finalis lain berpotensi besar untuk diangkat sebagai juara.

“Saya cuba menghadamkan perlahan-lahan kemenangan pada malam kemuncak yang bermakna ini. Sungguhpun begitu, saya tak boleh nafikan, karya sentuhan Ezra mempunyai maksud yang kuat. Kali pertama mendengarnya dahulu saya sudah jatuh cinta,” katanya.

Mengimbau semula kolaborasi menemukannya dengan Noki dan Loca B, Kaka berkata, ia adalah cetusan idea Pengarah A&R Warner Music Malaysia, Raqeem Brian.

Katanya, Brian adalah insan bertanggungjawab memerkenalkan lagu Gila kepadanya. Malah, dia juga mencadangkan agar lagu berkenaan dimantapkan dengan pembabitan dua penyanyi rap.

“Apabila Brian memberitahu idea meletakkan dua penyanyi rap, saya terus mencadangkan nama Noki dan Loca B.

“Saya mengenali Noki apabila mendengar lagu Mimpi. Kali pertama mendengarkannya, saya tertarik dengan ‘attitude’ Noki. Aliran muzik lagu Mimpi sangat menarik, kedengaran ganas, namun ada elemen R&B. Malah, tona suara Noki unik dan tersendiri.

“Loca B pula saya kenal melalui laman Instagram (IG). Sudah lama saya mengikuti dan menjadi ‘stalker’. Malah, saya melihat Loca B memiliki gaya dan keunikan tersendiri dalam ramai-ramai penyanyi rap wanita.

“Apabila saya mencadangkan nama Noki dan Loca B, Brian bersetuju, malah dia juga terfikir mahu berkolaborasi dengan penyanyi rap ini,” kata Kaka.

 

Kaka Azraff masih tidak percaya beroleh kemenangan julung kali bersama rakan duet, Noki dan Loca B menerusi lagu Gila. - Foto Kaka Azraff
Kaka Azraff masih tidak percaya beroleh kemenangan julung kali bersama rakan duet, Noki dan Loca B menerusi lagu Gila. – Foto Kaka Azraff

 

Bakal melangkah sedekad dalam dunia muzik pertengahan tahun ini, kemenangan pada AJL35 memahatkan sejarah yang cukup bermakna dalam profil kerjaya seninya.

Ujar Kaka, ia momen paling manis sepanjang kerjayanya.

Malah, apabila berbicara mengenai detik kemenangannya, ada getar di hujung suaranya.

Wanita kelahiran Klang, Selangor itu berkata, dia sering merasakan bakatnya sering dipandang sebelah mata, selama 10 tahun berjuang dalam dunia seni.

Namun, ia tidak sesekali menjadi kudis buat penyanyi yang mengecapi populariti menerusi lagu Bawaku Pergi dan Bukan Hal Aku itu.

Baginya, biarlah apapun tanggapan orang terhadapnya, malah, tidak pernah terlintas di benak fikiran untuk meletakkan titik noktah dalam perjuangannya.

“Jujurnya, saya merasakan bakat tidak pernah dipandang selama 10 tahun ini. Saya lihat orang memandang ringan terhadap apa yang cuba saya sampaikan dalam industri. Namun, tak semua, ada juga nampak usaha saya.

“Apabila mengenangkan apa yang dilalui, hati sangat tersentuh. Sebab itulah, saya menangis teruk di pentas AJL35. Dalam masa yang sama, saya turut bersyukur akhirnya rintihan saya didengari oleh-Nya.

“Saya harap lagu Gila dapat membuka mata orang luar terhadap lagu-lagu yang saya perjuangkan selepas ini. Saya akui, bersikap cerewet dalam memilih lagu, tetapi akhirnya sikap ini berbaloi apabila lagu yang dinyanyikan ada nilai dan diangkat sebagai juara,” katanya yang baru tampil dengan single bergenre balada berjudul Karma pada Februari lalu.

Kaka atau nama sebenarnya, Nor Atiqa Noor Azraff berkata, dia tidak pernah menghitung kuantiti, sebaliknya mengutamakan kualiti lagu dinyanyikan.

Jadi, katanya, tidak hairan himpunan lagu dendangannya tidaklah banyak selama sedekad ini. Dirinya juga bernasib baik kerana syarikat rakaman memahami kehendaknya, malah mengikut apa sahaja permintaan dan memberi sepenuh kepercayaan kepadanya.

“Bercakap soal lagu, selera muzik saya memang berbeza dari dahulu lagi. Saya sukakan lagu berbeza, malah sewaktu saya muncul dengan lagu Bukan Hal Aku, belum ada penyanyi yang menghasilkan genre sedemikian. Namun, belum ada rezeki untuk menang ketika itu.

“Walaupun pendengar mengambil masa menerima lagu dan muzik saya, tetapi saya tetap kekal memberi nafas baharu kepada setiap karya. Mereka yang bekerja dengan saya tahulah saya bagaimana. Tetapi, ada juga yang mempertikaikan kononnya saya terlalu yakin stesen radio akan memutarkan lagu-lagu saya.

“Alhamdulillah, kelainan yang saya cuba bawakan diterima. Bagi saya, saya perlu mewarnakan industri dengan rona yang berbeza.

“Selepas kemenangan AJL, saya tidak meletakkan standard lebih tinggi kerana saya memang sudah meletakkan penanda aras untuk setiap lagu-lagu yang dinyanyikan. Jadi, kemenangan ini tidak akan mengubah siapa diri saya,” katanya.

 

Kaka Azraff berada dalam tekanan lantaran bebanan kerja datang bertimpa-timpa menjelang AJL35 dan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). - Foto Kaka Azraff
Kaka Azraff berada dalam tekanan lantaran bebanan kerja datang bertimpa-timpa menjelang AJL35 dan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). – Foto Kaka Azraff

 

Berbicara statusnya sebagai isteri dan ibu, Kaka berkata, dia perlu bijak membahagikan masa antara kerjaya dan rumah tangga.

Katanya, dia tidak boleh melakukan sebarang kerja sesuka hati sejak berumah tangga dan mempunyai cahaya mata. Sebaliknya, jadualnya diatur dengan baik.

Malah, katanya, dia juga tertekan lantaran bebanan kerja datang bertimpa-timpa menjelang AJL35 dan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Selain sibuk persiapan AJL35, saya juga terbabit dengan penggambaran drama Diva Popular. Pelbagai perkara yang terjadi, telefon bimbit hilang, kemudiannya kehilangan nenek tersayang, Yang Asmah Long lima hari sebelum AJL35 berlangsung.

“Memang berat bebanan dipikul hingga pengurus risau mahu mengaturkan jadual. Saya pula tiada pembantu rumah, jadi urusan anak, Aslan Adam yang berusia dua tahun diuruskan bersama suami, Adam Azriff.

“Saya bersyukur suami banyak membantu sepanjang sibuk dengan penggambaran dan persiapan AJL. Suami juga berkorban mengambil Aslan di pusat jagaan, setiap hari.

“Saya pula pulang ke rumah hampir tengah malam, setiap hari. Saya merancang meluangkan masa bercuti bersama suami dan anak sebelum kembali sibuk. Kami juga merancang mengambil pembantu rumah bagi memudahkan urusan kerja,” katanya yang bakal melancarkan single terbaharu pada penghujung bulan ini.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat