KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-265 yang berlangsung di Istan Negara membincangkan pelantikan Ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).
Termasuk juga cadangan-cadangan Rang Undang-undang (RUU) Polis (Pindaan) 2023 dan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2024 berhubung hal-hal Kewarganegaraan, telah pun dibincangkan.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad memaklumkan, beberapa perkara lain, yang melibatkan pentadbiran Agama Islam dan hal-hal di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) termasuk pelantikan Pengerusi MKI, juga telah dibincangkan.
“Memandangkan bahawa Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-265 ini adalah yang pertama kali dihadiri oleh Sultan Ibrahim, sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17, Tuanku Pengerusi telah menzahirkan titah tahniah kepada Baginda mewakili pihak Majlis, dan seterusnya disahuti dengan titah balas olehKebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong.
“Mesyuarat Majlis Raja-raja itu berlangsung pada 21 dan 22 Februari 2024 dan telah dipengerusikan oleh Sultan Selangor,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Syed Danial menyatakan, pada hari pertama mesyuarat, semua Duli Yang Maha Mulia Raja-raja dan Tuan-tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri telah berangkat hadir termasuk Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Dull Yang Maha Mulia Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ioni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail (Raja Muda Perlis) manakala Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Kelantan diwakili oleh Yang Teramat Mulla Tengku Muhammad Fakhry Petra Ibni Al-Marhum Sultan Ismail Petra (Tengku Mahkota Kelantan).
“Pada permulaan Majlis, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, selaku Raja Yang Mempengersikan Mesyuarat telah bertitah menzahirkan ucapan takziah di atas pemergian Almarhum Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud, bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak dan Baginda juga turut menzahirkan ucapan tahniah mengalu-alukan kehadiran Tun Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak. Seterusnya, disahuti ucapan balas oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
“Pada hari ini (hari kedua), Yang di-Pertuan Agong ke-17 turut berangkat hadir di Mesyuarat Majlis dengan diringi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.
Kata beliau, majlis telah disembahkan taklimat terkini mengenai keselamatan Negara oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan mengenai pertahanan Negara oleh Tan Sri Datuk Seri Mohammad Ab Rahman (Panglima Angkatan Tentera).