KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan memberi penjelasan berhubung dakwaan berlakunya ketirisan dalam agihan Dana Kandungan Digital (DKD) berdasarkan laporan Ketua Audit Negara, seperti yang tular di Twitter, baru-baru ini, sedikit masa lagi.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Prof Dr Md Nasir Ibrahim, berkata pihaknya sedang mengumpul maklumat berhubung isu terbabit sebelum kenyataan rasmi dikeluarkan.
“FINAS sudah tahu isu ini (dakwaan ketirisan dana) lebih awal dan penjelasan sudah pun diberi kepada Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
“Cuma penjelasan yang dibuat itu tidak secara terperinci kerana ketika itu, laporan Ketua Audit Negara masih pada peringkat ’embargo’ (belum diumumkan secara rasmi).
“Insya-Allah, dalam masa sehari dua lagi, kami akan beri kenyataan berhubung dakwaan itu.
“Buat masa ini, kami sedang teliti kronologi dan semua dokumentasi berkaitan (berhubung dakwaan terbabit),” katanya kepada BH Online.
Sabtu lalu, BH Online melaporkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 Siri 2 mendapati penyaluran DKD berjumlah RM4 juta kepada syarikat yang mempunyai kepentingan dengan ahli perbadanan.
Laporan itu menyebut, semakan audit mendapati DKD RM4 juta disalurkan kepada enam syarikat yang mempunyai kepentingan antaranya milik isteri dan anak ahli lembaga pengarah FINAS.
Berita Harian