CYBERJAYA – Seramai 6,832 pelajar sekolah rendah dan menengah berjaya dibawa kembali ke sekolah sepanjang tahun lalu melalui program ‘outreach’ murid cicir dilaksanakan Kementerian Pendidikan (KPM).
Memetik laporan BH, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata program yang dilaksanakan di semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dengan kerjasama komuniti setempat itu, membabitkan 5,121 murid sekolah rendah dan 1,711 pelajar menengah.
“Objektif program outreach murid cicir ini adalah memberi intervensi berfokus bagi membantu murid cicir untuk kembali bersekolah kerana KPM menyedari pandemik COVID-19 yang bermula pada tahun 2020 memberi kesan kepada keciciran murid.
“KPM amat memandang serius kepada isu keciciran dan pelbagai langkah diambil bagi mengurangkan kadar keciciran murid ini,” katanya.
Fadhlina berkata demikian bagi menjawab soalan Sabri Azit (PN-Jerai) yang minta menteri pendidikan menyatakan inisiatif khas KPM dalam menangani isu keciciran pelajar akibat pandemik COVID-19.
Dalam masa sama, Fadhlina berkata, KPM turut menyediakan Garis Panduan Mengurus Murid Berisiko Cicir di Sekolah (GPMBC) dan dikuatkuasakan ke semua sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan.
Menurutnya, objektif GPMBC ini adalah untuk membantu pihak sekolah mengenal pasti dan mengurus murid berisiko cicir secara berkesan dan sistematik.
“GPMBC ini juga bertujuan untuk memastikan pemantauan murid khususnya murid berisiko cicir dapat dilaksanakan oleh pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), PPD dan sekolah secara berterusan.
“Selain itu, KPM turut menyediakan modul Serlahkan Keunggulan Diri (SUDI) sebagai panduan kepada sekolah untuk melaksanakan intervensi dalam menangani keciciran murid.
“Program Ziarah Prihatin turut dilaksanakan dengan mengadakan lawatan ke rumah murid bagi mengenal pasti dan mengesan punca keciciran murid serta memastikan masalah yang dihadapi oleh murid dapat ditangani,” katanya, seperti dilaporkan portal BH.